MAJLIS PERASMIAN

MESYUARAT AGUNG KELAB KEBAJIKAN DAN REKREASI

SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC)

KALI KE - 4

9 September 2020

Dewan Serbaguna, Menara Usahawan, Putrajaya

Bismillahirahhmanirrahim,

 

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh

dan Salam Sejahtera,

 

Yang Berusaha Encik Zulfadli Bin Abu Bakar,

Pengerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi EAIC,

 

Ahli-ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Rekreasi EAIC, dan

 

Seluruh warga keluarga EAIC yang saya hormati sekalian.

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan izin-Nya jua dapat kita bersama-sama hadir dan berkumpul pada pagi ini, bersempena Mesyuarat Agung Kelab Kebajikan dan Rekreasi EAIC kali ke – 4.

2. Pagi ini merupakan kali pertama saya merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Kebajikan dan Rekreasi EAIC dan platform ini juga merupakan kali pertama saya menyampaikan amanat kepada seluruh warga keluarga EAIC. Saya amat menghargai amanah dan kepercayaan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia memberi peluang kepada saya dan barisan Pesuruhjaya untuk menyumbang khidmat bakti kepada rakyat dan Negara melalui EAIC.

3. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-63 dan Selamat Hari Malaysia kepada kita semua. Semoga kita terus merdeka, bebas dan berdaulat. Walaupun banyak yang telah dikecapi oleh negara kita dalam jangka masa yang secara relatif agak singkat, kita harus mengambil semangat kemerdekaan ini untuk terus maju, menjadi yang terbaik mungkin, supaya tanah air yang kita cintai ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat selama-lamanya, insya Allah. Begitu juga, setiap individu di Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan harus menanam semangat yang tinggi, seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini – Prihatin Rakyat. Di mana kita sebagai penjawat awam sentiasa memberikan yang terbaik untuk Rakyat dan Negara.

Para hadirin sekalian, 

4. EAIC sebagai sebuah agensi yang melaksanakan fungsi badan pengawasan integriti di kalangan agensi-agensi penguatkuasaan mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat. Sebagai sebuah badan pengawasan integriti, EAIC perlulah menjadi yang terbaik, “be whiter than white” dari segi integritinya. Dan tanggungjawab ini perlulah dipikul secara kolektif oleh setiap individu di EAIC.

5. Menghayati tema Hari Kebangsaan iaitu Prihatin Rakyat, saya amat bercita-cita untuk melihat setiap kita di EAIC sentiasa mengambil langkah-langkah positif untuk meningkatkan tahap perkhidmatan masing-masing. Ini termasuk menerapkan minda terbuka yang mengutamakan kualiti dan elakkan daripada menjalankan tugas sambil lewa. Rakyat memerlukan kita penjawat awam yang mempunyai daya fikir yang tinggi, kemahiran menganalisis situasi, mempunyai high-level critical thinking serta kreatif, cepat dan cekap mengambil tindakan, berlandaskan integriti.

6. Dalam memastikan integriti penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan dijulang dan mendapat kepercayaan orang ramai, terdapat dua perkara yang perlu dipraktik. Pertama, dalam dunia serba digital, salahlaku integriti boleh tersebar luas dalam sekelip mata sahaja melalui video-video viral melalui internet. Oleh yang demikian, tindakan susulan oleh EAIC sebagai badan pengawasan perlulah dilihat diambil dengan cepat. EAIC tidak boleh menunggu masa dan keadaan yang sesuai untuk mengambil tindakan. Tindakan yang proaktif akan meningkatkan kredibiliti EAIC sebagai sebuah badan pengawasan dan secara tidak langsung akan meningkatkan kepercayaan orang awam kepada agensi penguatkuasaan. Dan, meningkatkan kepercayaan kepada Perkhidmatan Awam dan kepada Kerajaan.

7. Kedua, dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, kita perlulah meletakkan diri kita di tempat pihak yang memerlukan perkhidmatan. Sistem penyampaian perkhidmatan yang benar- benar menepati kehendak rakyat dan setiap golongan pelanggan, memerlukan sokongan semua pihak untuk mencapai objektifnya. Setiap aduan yang diadukan kepada EAIC perlulah dianggap sebagai satu hadiah bagi memastikan integriti agensi seliaan yang diadukan terjaga. A complaint is a gift for us to improve. Tetapi bukan membuat kerja secara terburu-buru dan yang membawa kepada penganiayaan. Dan, kita haruslah mengelak dari digunakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan untuk melakukan penganiayaan!

Hadirin sekalian,

8. Integriti itu sememangnya merupakan tanggungjawab setiap individu. Dan perkara paling utama adalah kita sendiri harus menjauhkan diri daripada salahlaku integriti. Lebih dari itu dan turut penting: sekiranya kita mengetahui rakan sekerja cuba melakukan sesuatu salahlaku, kita harus memberi nasihat supaya menjauhinya. Sekiranya nasihat kita tidak diendah adalah tanggungjawab kita untuk melaporkannya kepada Ketua Jabatan atau mana-mana Pihak yang Berwajib.

9. Sekiranya setiap warga kerja di agensi penguatkuasaan melaksanakan tiga peranan ini: menjauhi diri, menasihat dan melapor, InsyaAllah, integriti akan menjadi teras budaya kerja kita SEMUA. Adalah menjadi idaman agar tahap integriti agensi penguatkuasaan mencapai satu kedudukan yang tinggi, di mana integriti sudah menjadi teras budaya kerja kita DAN keperluan untuk EAIC DAN LAIN-LAIN AGENSI SERUPA mungkin sudah tiada. Saya pernah menyatakan perkara ini di dalam ucapan saya di Konvensyen Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan pada tahun 2013.

10. Hari ini, sebagai Pengerusi EAIC, saya menasihatkan diri saya dan SEMUA wargakerja EAIC peri pentingnya KITA mengamalkan budaya kerja yang terbaik yang boleh ditanda aras oleh pemberi Perkhidmatan yang baik sebagai cerminan Perkhidmatan Awam yang diidamkan. Maka kita hendaklah melunaskan amanah dan tanggungjawab kita dengan penuh integriti, mengikut peraturan yang wajar dan memberikan perkhidmatan sebagaimana kita mahu dilayani.

11. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini, izinkan saya membacakan petikan dari Puisi bertajuk Pakaian Pemimpin oleh Tenas Affendi, yang mungkin dapat kita hayati untuk dijadikan iktibar. Puisi ini pernah saya bacakan pada Majlis Makan Malam Penghargaan sebelum saya bersara sebagai Ketua Setiausaha Negara pada Jumaat 22 Jun 2012, tetapi ingin saya ulanginya semula pada hari ini:

Menjalankan tugas tahan beragas

menjalankan amanah tahan dilapah

menjalankan yang hak tahan diinjak

menunaikan janji tahan dikeji

membela rakyat tahan dikerat

membela bangsa tahan binasa

membela negeri tahan mati

menolong tak harap sanjung

berbudi tak harap puji

berkorban tak harap imbalan

bekerja tak harap upah

memberi tak harap ganti

mengajar tak harap ganjar.

12. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Rekreasi EAIC kerana menjalankan amanah yang diberikan dan berjaya mengendalikan majlis perasmian dan Mensyuarat Agung Kelab Kebajikan dan Rekreasi EAIC Kali Ke - 4 pada pagi ini dengan kemas dan teratur, selaras dengan keperluan perlembagaannya. Semoga Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Rekreasi EAIC baru yang akan dilantik selepas ini akan terus bersatu serta bergerak maju menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh berintegriti dan berakauntabiliti. 

13. Maka, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan ini merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Kebajikan dan Rekreasi EAIC kali ke - 4.

Wabillahitaufik walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.