PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan pelantikan Asliza Ali sebagai Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif suruhanjaya itu, berkuat kuasa pada Rabu.

Beliau menggantikan Norhayati Ahmad yang telah kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara pada 18 Ogos tahun lalu.

Unit Komunikasi Korporat EAIC berkata, Asliza berpengalaman luas dalam bidang perundangan menerusi khidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai Ketua Unit di Seksyen Kes-Kes Terkelas Pegawai Undang-Undang (Gred Utama C), Bahagian Guaman sejak 2020.

"Beliau (Asliza) pernah berkhidmat di Bahagian Guaman iaitu Unit Kontrak dan Kecuaian Perubatan selain Pengarah Guaman Negeri di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

"Antara jawatan lain ialah Penasihat Undang-Undang Kementerian Pertahanan; Penasihat Undang-Undang Kementerian Belia dan Sukan; Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Dalam Negeri serta Timbalan Pendakwa Raya di Bahagian Undang-Undang Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, Asliza turut pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Pelantikan ini diharap akan memperkukuh pelaksanaan fungsi dan tadbir urus EAIC sebagai badan pengawasan integriti pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]," ujarnya.

Sumber : Sinar Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.