PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan terdapat unsur kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental yang dialami tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB).

EAIC dalam kenyataan berkata, penemuan itu adalah hasil siasatan pihaknya mengenai insiden 131 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari depot berkenaan pada 1 Februari lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati tindakan kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya telah bermula dari tahun 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen termasuk DISB.

Jelasnya, beberapa pegawai imigresen di DISB termasuk dua orang pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan ke DISB didapati melakukan kekerasan melampau.

“(Ini termasuk melakukan) penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka,” katanya hari ini.

EAIC berkata, punca insiden itu turut mendapati, pegawai imigresen dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di DISB didapati tidak peka terhadap keadaan sekeliling sebelum insiden melarikan diri tersebut berlaku.

“Bangunan DISB yang merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.

“Pegawai kanan dan penyelia di DISB gagal memantau dan bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden tersebut,” katanya.

 

Sumber : KOSMO! ONLINE

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.