Pemimpin setempat, NGO berperanan sebagai 'mata-mata' Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan

KUCHING: Ketua masyarakat, ketua kaum dan badan bukan kerajaan (NGO) berperanan sebagai 'mata-mata' untuk menyalurkan aduan mengenai salah laku penguat kuasa, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Ismail Bakar.
 
Beliau berkata, masyarakat tidak perlu takut melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa atau ketidakadilan kerana melalui saluran yang sah seperti EAIC, setiap aduan akan disiasat dengan telus.
"Sebagai pemimpin setempat, anda penting dalam memudahkan proses ini dan memberi keyakinan kepada masyarakat untuk melaporkan dan mendapatkan pembelaan," katanya ketika berucap pada Program Encouraging Responsibility Accountability Trustworthiness (ERAT) EAIC Bersama Penguat Kuasa, Mahasiswa dan Masyarakat, di Kota Samarahan, semalam.
Ismail berkata, dalam memperkasakan perkhidmatan awam, adalah penting untuk memiliki kakitangan yang berintegriti, jika ada yang didapati melakukan pelanggaran salah laku dan etika mereka akan diambil tindakan tegas, seperti dikeluarkan daripada perkhidmatan.
 
Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, EAIC memainkan peranan penting dalam membantu negara mencapai matlamat menjadi sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bebas daripada sebarang salah laku.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan tuntutan masyarakat, yang semakin peka terhadap amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam perkhidmatan awam.
 
"Takut kerana salah, berani kerana benar, jika seorang pegawai penguat kuasa itu benar-benar bersih dan jujur, mereka tidak perlu bimbang apabila disiasat EAIC, kerana ia mekanisme untuk membela diri daripada sebarang tuduhan yang tidak berasas dan memastikan keadilan serta kebenaran dalam setiap tindakan yang diambil.
 
"Oleh itu, suruhanjaya ini bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung masyarakat, tetapi juga bertindak sebagai perisai bagi pegawai penguat kuasa yang berintegriti," katanya.
 
EAIC dalam kenyataan memaklumkan, ERAT merupakan program anjuran bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pejabat Residen Bahagian Samarahan, yang bertujuan mempromosikan kesedaran mengenai kebertanggungjawaban, akauntabiliti dan kepercayaan dalam usaha membanteras salah laku penguat kuasa serta membudayakan integriti sebagai teras perkhidmatan awam.
 
Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada penguat kuasa agensi di bawah seliaan EAIC, Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) Samarahan, wakil NGO, pegawai agensi awam, serta masyarakat setempat telah menghadiri program tersebut.
 
 
Sumber : Astro Awani
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.