Tan Sri Dr Ismail Bakar. - Foto fail BERNAMA
Tan Sri Dr Ismail Bakar. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Agensi penguat kuasa undang-undang di sempadan seharusnya berani melaksanakan pengawalan dengan lebih cekap dan teratur tanpa kompromi, kata Pengerusi Suruhanjaya Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata demikian mengulas isu berkait Sungai Golok yang menyaksikan hampir 500 murid dan pelajar sekolah menggunakan pangkalan haram dari wilayah Thailand itu ke Rantau Panjang, Kelantan setiap hari.

Menurutnya, ketegasan dalam melaksanakan penguatkuasaan tanpa kompromi adalah tindakan lebih penting.

"Kita melihat isu di sempadan ini (Sungai Golok-Rantau Panjang) adalah isu tradisional. Memang sudah lama kerana ia sudah wujud sebelum merdeka lagi, terutama mengenai kemudahan-kemudahan yang ada di sempadan.

"Seingat saya sejak 1980-an lagi kita telah memikirkan mengenai keperluan untuk membuat tembok di kawasan sempadan. Tetapi disebabkan oleh kos yang tinggi dan mungkin perkara ini agak sukar untuk dilaksanakan serentak. Mungkin keutamaan kita kena buat (bina tembok).

"Tapi dalam masa yang sama kita (kerajaan) meningkatkan peruntukan kepada agensi penguat kuasa dan sebagainya, perkara ini hendaklah dibuat selaras dengan keperluan semasa," katanya kepada NSTP ketika ditemui di sambutan Program 2 Tahun Kerajaan MADANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut isu di sempadan Sungai Golok dan Rantau Panjang, Ismail tidak menafikan isu antara dua wilayah itu sudah lama berlaku berpunca perkongsian budaya sama antara penduduk di wilayah Thailand-Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia tidak bermaksud negara harus mengetepikan kepentingan keselamatan dan kedaulatan.

"Itu kita perlu laksanakan dengan tegas. Tidak ada lagi kompromi.

"Untuk apa membiarkan sempadan kita bolos semudah-mudahnya seperti mana yang berlaku pada hari ini," katanya.

Ditanya sama ada EAIC akan memanggil pihak berkuasa yang bertugas di sempadan, Ismail berkata pihaknya akan melihat keperluan terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

"Kita tengok keperluan dulu," katanya.

 

Sumber : Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.