OPENING REMARKS

MESYUARAT KOORDINASI

SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN

BERSAMA DENGAN

KETUA-KETUA

AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

23 Jun 2022

Selangor Meeting Room

Putrajaya Marriot Hotel

Bismillahirahhmanirrahim,

 

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh

dan Salam Sejahtera,

 

Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC,

 

Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk,

Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan,

 

Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad,

Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

 

Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini.

 

2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan Seliaan EAIC di atas kesudian saudara-saudari sekalian menghadiri Mesyuarat Koordinasi EAIC Bersama Dengan Ketua–Ketua Agensi- Agensi Penguatkuasaan Seliaan yang julung kali diadakan pada hari ini. Adalah menjadi hasrat kami di EAIC agar mesyuarat sebegini akan diadakan secara berkala.

3. EAIC komited dan gigih untuk bersama-sama Agensi Penguatkuasaan seliaan bagi memastikan pembudayaan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan berteraskan profesionalisme dan amalan terbaik.

4. Mesyuarat ini dihasratkan untuk menjadi platform membentuk jalinan kerjasama, mengembangkan aspirasi pengukuhan integriti, di antara EAIC dengan agensi penguatkuasaan. Ia juga bertujuan menjalin dan mengukuhkan kerjasama di kalangan agensi-agensi penguatkuasaan. Untuk mempelajari “amalan-amalan terbaik” (“best practices”) di kalangan kita.

5. EAIC pada masa ini mengawal selia 21 buah agensi penguatkuasaan dengan jumlah pegawai dan kakitangan di kesemua agensi-agensi ini melebihi 210,000. Sudah pasti adalah sukar bagi EAIC, dengan bilangan perjawatan hanya 78 orang, bajet RM8 juta setahun, malah sumber kuasa yang juga terhad, untuk melunaskan tanggungjawab mengawal selia integriti agensi-agensi penguatkuasaan yang lebih besar dan lebih berkuasa. Memang satu kemustahilan sekiranya EAIC bekerja secara bersendirian dan mengambil sikap “adverserial” dengan agensi-agensi seliaan.

6. Hakikatnya, EAIC tidak bersendirian dalam hasrat memartabatkan integriti dalam agensi penguatkuasaan. Saya sangat yakin setiap agensi penguatkuasaan itu sendiri, lebih-lebih lagi diperingkat Pengurusan Tertinggi lebih dari pihak lain, inginkan agensi mereka memberikan perkhidmatan terbaik, perkhidmatan berintegriti.

7. Tidak ada ketua mana-mana agensi penguatkuasaan, yang apabila menerajui agensi, mahu memberikan perkhidmatan yang tidak berintegriti. Ia adalah amat mustahil. Hasrat setiap ketua pasti mahu menjadikan agensi mereka sebagai yang terbaik.

8. Namun kita tidak boleh menafikan, akan pasti ada dikalangan kita yang sebegitu ramai pegawai dan kakitangan, yang ada kalanya atau selalunya tidak berintegriti. Di sinilah EAIC dan Agensi-agensi Penguatkuasaan, khususnya Ketua-Ketua Jabatan dan Unit-Unit Integriti perlu bekerjasama dengan akrab dan bersatu hati menangani sebarang isu integriti.

9. Jalinan kerjasama EAIC bersama dengan agensi penguatkuasaan boleh memberikan nilai tambah. Hasil siasatan dijalankan oleh EAIC sebagai pihak ketiga mempunyai lebih kredibiliti berbanding dengan siasatan secara dalaman. Sebagai contoh isu Kewujudan Kartel Dalam PDRM dijalankan oleh EAIC sebagai pihak tidak berkepentingan telah diterima baik berbanding sekiranya hasil siasatan yang sama dijalankan oleh PDRM sendiri.

10. Kami di EAIC amat gembira, hasrat jalinan kerjasama EAIC disambut baik oleh PDRM. Hubungan dengan PDRM telah bermula di peringkat tertinggi PDRM. Kesinambungan jalinan kerjasama bersama PDRM telah dipergiat menerusi sesi libat urus yang diadakan bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan seterusnya di peringkat Kontinjen, bermula di negeri Kedah. EAIC amat mengalu-alukan cadangan YDH CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Ketua Polis Kedah supaya semua surat yang dikeluarkan oleh EAIC kepada Ketua Polis Daerah di Negeri Kedah disalinkan kepada JIPS IPK Kedah supaya isu berkenaan dapat dipantau oleh beliau sendiri.

11. Amalan ini membolehkan siasatan diselesaikan dengan lebih cepat dan lengkap dan seterusnya meningkatkan kepercayaan awam bukan sahaja kepada EAIC malah PDRM. Sesi libat urus dengan IPK Terengganu, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur juga telah merumuskan proses kerja terbaik dan mencapai kesepakatan dalam memastikan usaha meningkatkan integriti terus diperkasakan.

12. EAIC berhasrat untuk menjadikan pendekatan kerjasama yang diadakan bersama PDRM sebagai templat kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seliaan yang lain. Medium kerjasama ini bukan hanya untuk meningkatkan tahap perkhidmatan agensi penguatkuasaan seliaan sahaja malah juga dalam meningkatkan tahap perkhidmatan EAIC.

13. Mesyuarat hari ini bertujuan membincang dan mendapat kata sepakat bagaimana EAIC dan Agensi-Agensi Penguatkuasaan dapat bekerjasama dengan lebih berkesan lagi dalam usaha bersama memastikan kita semua dapat memberikan perkhidmatan terbaik mungkin dengan penuh integriti.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.