UCAPAN YBHG TAN SRI PENGERUSI

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG & SANJUNGAN BUDI 2025

SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC) TAHUN 2025

TEMPAT: HOTEL SAMA-SAMA, SEPANG

TARIKH: 14 APRIL 2026 (SELASA)

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama menjayakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Sanjungan Budi 2025 Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada hari ini.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah yang diraikan pada hari ini. Penganjuran majlis ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada warga kerja EAIC yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi serta sumbangan yang cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme.

Pada tahun ini, seramai 6 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 10 orang penerima Sijil Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang (SPPC), 14 orang penerima Sijil Khidmat Setia (SKS) serta 6 orang penerima Sanjungan Budi diraikan atas jasa, usaha gigih dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Pengiktirafan ini merupakan manifestasi kepada komitmen, dedikasi serta kepimpinan berwibawa yang telah ditunjukkan dalam memacu kecemerlangan jabatan. Ia bukan sahaja penghargaan kepada usaha gigih yang telah dicurahkan, malah mencerminkan budaya kerja yang positif, berdaya saing dan berorientasikan kecemerlangan dalam kalangan warga kerja EAIC.

Saya berharap agar pengiktirafan yang diterima pada hari ini bukan sahaja menjadi satu kenangan manis kepada para penerima, malah turut menjadi suntikan semangat untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang pada masa hadapan. Pada masa yang sama, ia juga diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada seluruh warga kerja EAIC untuk terus komited meningkatkan produktiviti dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan. 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam usaha kita mencapai kecemerlangan yang berterusan, kecemerlangan tersebut hendaklah sentiasa dipandu oleh nilai integriti yang kukuh. Integrity is not merely about compliance, it is about culture. Oleh itu, nilai integriti perlu dijadikan sebagai budaya di tempat kerja dan diamalkan secara menyeluruh, bermula daripada kepimpinan tertinggi sehinggalah ke setiap lapisan warga organisasi.

Apabila nilai integriti ini benar-benar dihayati dan diamalkan, ia akan membentuk warga kerja yang berdisiplin, beretika serta berakauntabiliti dalam setiap tindakan. Setiap daripada kita perlu berperanan sebagai warga yang mematuhi undang-undang dan menghormati prinsip tadbir urus yang baik. Menjadi seorang law-abiding citizen merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang beretika, berakauntabiliti dan berintegriti.

Hadirin sekalian,

Pada hari ini juga, kita turut menyaksikan pelancaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Bahagian Operasi yang telah dikemaskini dan dihimpunkan dalam sebuah buku sebagai rujukan rasmi. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh kecekapan, keseragaman serta tadbir urus yang lebih baik.

Saya berharap agar SOP ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga kerja sebagai panduan dalam melaksanakan tugas dengan lebih tersusun, cekap dan berintegriti.

Akhir kata, tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua penerima APC, SPPC, SKS serta Sanjungan Budi pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Sanjungan Budi 2025. Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik demi organisasi, masyarakat dan negara.

Sekian, terima kasih.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.