IPCMC mesti selaras dengan Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu selaras dengan Perlembagaan negara kerana anggota dan pegawai agensi penguat kuasa itu sudah mempunyai Suruhanjaya Pasukan Polis.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan berkata, IPCMC jika dimuktamadkan adalah baik tetapi ia tidak selaras dengan Perlembagaan negara sekiranya kuasa untuk menjatuhkan hukuman dilaksanakan suruhanjaya itu.

Musa berkata, ini berikutan Suruhanjaya Pasukan Polis adalah badan yang memantau dan sudah mempunyai kuasa untuk menyiasat serta menjatuhkan hukuman kepada pegawai kanan, termasuk Ketua Polis Negara dan anggota berpangkat rendah seperti merendahkan pangkat.

“Penubuhan IPCMC ini adalah tidak selaras dengan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pasukan Polis dan terdapat satu klausa yang mana mereka yang disiasat tidak boleh merayu di mahkamah dan ini adalah tidak adil.

“Saya melihat kewujudan IPCMC adalah baik sebagai badan pemantau tetapi kita kena tahu, polis dan tentera ini adalah berbeza berbanding penjawat awam yang lain.

“Dalam kes rasuah, kita ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh mengambil tindakan, manakala ada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai badan pemantau. Bahagian tatatertib serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) ditubuhkan dalam PDRM sendiri,” katanya kepada BH.

Musa menjelaskan, beliau sebenarnya pernah mencadangkan Suruhanjaya Bebas Integriti Polis (IPIC) pada zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ia diselaraskan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Mengulas lanjut Musa berkata, isu yang perlu diberi perhatian dalam isu polis ini adalah mengenai kelengkapan serta aset yang masih tidak lengkap sehingga kini.

“Saya diberitahu ada ada anggota polis tidak dibekalkan ‘pocket book’ dengan cukup malah di pejabat kertas pun terpaksa dibeli sendiri apatah lagi aset dan kelengkapan lain,” katanya.

Berbeza nada, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar pula berkata, IPCMC perlu wujud untuk memantau salah laku jenayah membabitkan polis.

“IPCMC diwujudkan lebih kepada tuduhan jenayah yang dilakukan polis dan ia perlu disokong untuk memberi kesaksamaan dan keadilan kepada rakyat.

“Jika rakyat dijaga polis, siapa yang di atas polis sekiranya polis melakukan kesalahan, itulah prinsip badan ini diwujudkan,” katanya yang menjelaskan IPCMC tidak mempunyai kaitan dengan isu salah laku tatatertib polis.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy berkata, IPCMC perlu dilaksanakan memandangkan ‘soft control’ terhadap PDRM oleh kerajaan tidak memadai dan berkesan.

“Selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) 2005, kerajaan menubuhkan EAIC yang boleh dikatakan satu mekanisma ‘soft control’ tetapi wujudnya badan itu serta JIPS, PDRM dilihat masih gagal menjaga disiplin dalam polis, isu penderaan, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Berita kematian dalam tahanan seperti A Kugan, Syed Mohd Azlan dan Balamurugan, jelas terbukti proses dalaman PDRM melalui JIPS tidak berkesan dan ‘soft control’ melalui EAIC juga tidak memadai,” katanya.

Katanya, IPCMC mampu memastikan insiden salah guna kuasa di kalangan polis dibanteras khususnnya berkaitan kuasa mutlak untuk menyekat kebebasan orang dan penggunaan senjata api.

Sumber : Berita Harian Online
T
arikh : 30/03/2019

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.