PUTRAJAYA: CUEPACS bimbang unit integriti di jabatan dan agensi kerajaan akan bertindak di luar bidang kuasa berikutan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (LSEAIC) diterima sebagai keterangan dalam prosiding tatatertib.
Bagaimanapun, secara dasarnya, CUEPACS menganggap keputusan diambil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) itu sebagai munasabah.
Justeru, CUEPACS akan bertemu dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk mendapatkan kefahaman dan mengetahui kaedah pelaksanaannya.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata berdasarkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, keputusan mengambil kira LSEAIC dan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sememangnya munasabah.
Bagaimanapun, Adnan berkata, pihaknya bimbang unit integriti di jabatan dan agensi akan bertindak di luar bidang kuasa mereka, mengambil tindakan terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan.
"Pindaan Perintah Am Bab D (yang membabitkan laporan sulit) khususnya perlu dilakukan sebagai sumber kuasa kepada Lembaga Taratertib Untuk menguatkuasakan tindakan," katanya kepada BH di sini, hari ini.
Adnan berkata, CUEPACS masih belum mendapat makluman lanjut berhubung keputusan itu, namun pihaknya akan bertemu dengan pengurusan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan bagi tujuan kefahaman dan mengetahui kaedah perlaksanaannya.
"Pada dasarnya, keputusan JKKMAR ini mungkin disebabkan kes-kes integriti membimbangkan khususnya di peringkat agensi penguatkuasaan," katanya.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan media, berkata JKKMAR bersetuju perbincangan diadakan di antara SPRM dengan Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan Laporan SPRM dan LSEAIC, dijadikan sebagai keterangan dalam prosiding tatatertib.
Kenyataan itu menyebut, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, mencapai enam keputusan penting.
Sumber : Berita Harian