KUALA LUMPUR - Pemerkasaan budaya berintegriti dalam kalangan pegawai dan agensi penguatkuasa khususnya di Selangor, akan terus menjadi fokus utama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Jurucakap EAIC berkata, ia selaras dengan peranan mereka selaku pihak bertanggungjawab mengawal selia pematuhan pegawai dan agensi penguatkuasaan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
"EAIC menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlhaJ pada Rabu lalu atas kebimbangan baginda terhadap aktiviti rasuah atau pecah amanah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik pegawai kerajaan di Negeri Selangor.
"EAIC menyanjung tinggi pendirian dan ketegasan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam memastikan aktiviti rasuah atau pecah amanah di Negeri Selangor dapat dibenteras," katanya.
Jurucakap itu berkata, EAIC selaku agensi yang bertanggungjawab akan meningkatkan usaha memperkasakan budaya berintegriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.
"Kami dengan penuh iltizam akan mengawal selia pematuhan integriti pegawai penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan," katanya. - Getaran, 30 Julai 2021
Sumber : Getaran