Kerjasama EAIC agensi penguatkuasaan lebih berkesan tangani isu integriti

PUTRAJAYA: Kerjasama erat dan pintar antara Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) dengan jabatan dan agensi penguatkuasaan dilihat lebih berkesan menangani isu integriti dalam kalangan penguat kuasa.

Susulan itu, Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata tidak ada keperluan untuk Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) dipinda atau peruntukan serta perjawatannya ditambah.

Beliau berkata, perkara itu dibantahnya ketika mula memegang jawatan pengerusi pada Julai tahun lalu.

"Saya bantah (untuk pinda Akta 700) sejak awal saya menjadi pengerusi untuk minta lebih banyak kerja dan lebih banyak duit kerana ia tidak akan mencukupi walaupun anda memperkukuhkan Akta 700 serta menjadikan ia wajib.

"Banyak akta dalam Malaysia (yang) sudah mencukupi, tetapi ia tidak dikuatkuasakan.

"Apa yang perlu dilakukan ialah bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain dan berfikir bahawa mereka juga tidak mahu berlakunya pelanggaran integriti," katanya selepas menghadiri Majlis Sedekad Penubuhan EAIC dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) EAIC 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika berucap, Mohd Sidek berkata, EAIC ditubuhkan mengikut Akta 700 sebagai agensi melaksanakan fungsi badan pengawasan integriti agensi penguatkuasaan, dengan peranan utamanya menerima aduan orang awam mengenai salah laku pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan dan merumuskan serta mengadakan mekanisme bagi mengesan, menyiasat dan mencegah salah laku.

Beliau berkata, EAIC mempunyai kekuatan tenaga pekerja yang kecil iaitu 78 perjawatan, selain peruntukan RM8 juta setahun.

Katanya, Akta 700 memberi kuasa kepada EAIC untuk membuat pengesyoran dan hanya Pihak Berkuasa Tatatertib Agensi Penguatkuasaan yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman membabitkan jabatan serta agensi masing-masing.

"Penyelesaian konvensional kepada masalah ini yang paling mudah ialah memperbesarkan EAIC, besarkan bilangan jawatan, tambah peruntukan kewangan dan pinda Akta 700 untuk beri lebih kuasa kepada EAIC.

"Namun, saya yakin jika diperbesarkan EAIC 10 kali ganda menjadi 780 orang atau bajet RM80 juta setahun, kita masih akan menghadapi isu yang kita hadapi sekarang," katanya.

Sumber : Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.