Seorang pesara guru, Zarir Yaakob, tampil mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung dakwaan kecuaian dan salah laku pegawai penguat kuasa Jabatan Perhutanan negeri Kelantan.
Menurutnya, ia susulan pendedahan berlaku kecurian balak sejumlah 5,000 tan dengan anggaran nilai pasaran RM5 juta di kompartmen 25 Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.
"Saya tampil membuat aduan ini kerana rasa tanggungjawab sebagai rakyat Kelantan selepas melihat khazanah hutan negeri dijarah sewenang-wenangnya.
Saya percaya kejadian ini boleh berlaku kerana kecuaian dan salah laku dalam menjalankan tugas wajib pegawai dan kakitangan penguat kuasa Jabatan Perhutanan negeri Kelantan sebagai salah satu agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab"
Justeru, kita mohon siasatan dan tindakan oleh Suruhanjaya ini di bawah subseksyen 1 (3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) berkenaan salah laku yang mungkin berlaku, katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Tambah Zarir, aduan terbabit diserahkan kepada pegawai EAIC secara serahan tangan di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu Pengerusi Save Kelantan Husam Musa mendedahkan kecurian balak di kawasan kompartmen 25 itu.
Malah bekas exco kanan kerajaan negeri Kelantan itu mendakwa berlaku pembalakan di kawasan hutan dara perlindungan kompartmen 26 HSK Nenggiri oleh anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn Bhd.
Sementara itu Zarir berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa terbabit melakukan siasatan menyeluruh bagi kedua-dua pendedahan tersebut agar tindakan sewajarnya diambil.
Ini perkara serius membabitkan kepentingan negeri dan rakyat Kelantan, katanya yang berasal dari Pasir Puteh.
Sumber : Malaysiandailynew.com