Aduan libatkan anggota polis paling banyak diterima

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima 6,099 aduan terhadap pelbagai agensi penguat kuasa dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah yang tertinggi.

Tanpa memperincikan jumlahnya, Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan berkata, jumlah aduan itu diterima pihaknya sejak EAIC ditubuhkan 10 tahun lalu.

Katanya, aduan yang tidak dibuka adalah melibatkan aduan terhadap bukan agensi seliaan yang dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk disusuli selain tiada butiran lengkap yang tidak membolehkan tindakan diambil.

"Sebanyak 5,163 fail aduan telah dibuka dan EAIC telah menyelesaikan sebanyak 5,097 fail aduan daripada keseluruhan jumlah aduan diterima.

"EAIC juga telah membuka sebanyak 1,097 fail siasatan dan sehingga kini, sebanyak 1,046 kes telah diselesaikan. Fail siasatan yang belum diselesaikan pula masih dalam proses tindakan dan akan diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan Prosedur Operasi Standard Penerimaan Aduan EAIC," katanya dalam Majlis Apresiasi EAIC Bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Jumaat.

Turut hadir adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Mengulas mengenai punca aduan tertinggi libatkan PDRM, Sidek menjelaskan, jumlah keanggotaan polis lebih ramai berbanding agensi penguat kuasa lain.

"Malah, orang awam juga sering berurusan dengan pihak polis setiap hari dan banyak aduan remeh seperti tinggi suara dan seumpamanya," ujarnya.
 

Sumber :  Sinar Harian 

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.