KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 umat Islam pelbagai lapisan umur hadir pada program Subuh Macam Jumaat yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 4.15 pagi tadi.

Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sebahagian jemaah juga hadir lebih awal pada sebelah malam untuk beriktikaf di ruang yang disediakan di Masjid Wilayah Persekutuan serta bersama-sama berqiamullail dan bersahur dengan juadah yang disediakan oleh pihak masjid.

Program anjuran JAWI itu turut dijayakan bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan rakan-rakan strategik dari pelbagai agensi di bawah tema program Ihya’ dan Erat Ramadan dengan beberapa pengisian dan insentif menarik yang disediakan buat jemaah yang hadir.

Antara aktiviti selepas solat Subuh berjemaah ialah sesi tazkirah bertajuk “Integriti, Jihad Sanubariku” yang disampaikan oleh Datuk Dr. Mohd Izhar Arif Mohd Kashim.

Selain itu pihak penganjur juga mengadakan beberapa acara menarik seperti musabaqah hafazan al-Quran yang menawarkan hadiah lumayan seperti tajaan umrah dan wang tunai. 

“Sampul Subuh” juga disediakan kepada jemaah cilik dalam kalangan kanak-kanak sebagai salah satu bentuk galakan untuk menunaikan solat jemaah di masjid. 

Orang ramai yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan istimewa yang disediakan oleh pihak penaja.

Turut hadir pada program pagi tadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pesuruhjaya EAIC Datuk Seri Dr Yusof Ismail.

Ia turut disertai selebriti terkenal tanah air, saudara Alif Satar yang juga antara individu yang memulakan gerakan Geng Subuh Macam Jumaat.

Dalam pada itu Mohd Na’im pagi tadi turut melancarkan aplikasi Geng Sedekah Ramadan bagi memudahkan dan menggalakkan orang ramai menghulurkan infaq lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia. — AlHijrah Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.