KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) yang disyaki terbabit dalam sindiket visa perubatan membabitkan warga asing.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pihak EAIC sudah pun hadir ke Ibu Pejabat Imigresen untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawainya.

"Jabatan menyerahkan kepada pihak EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

"Dalam hal integriti, Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku," katanya.

Zakaria berkata tindakan tegas akan diambil, tanpa mengira pangkat atau jawatan.

"Imigresen memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti selaras dengan fokus utama jabatan.

"Iaitu meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi jabatan agar kembali dihormati dan disegani," katanya.

Dalam pada itu, katanya orang awam dialu-alukan untuk melaporkan salah laku pegawai imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.

Terdahulu, sebuah portal Malaysiakini hari ini melaporkan beberapa pegawai Imigresen sedang disiasat selepas disyaki terbabit dalam 'sindiket visa perubatan' membabitkan warga asing.

Menurut laporan yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Imigresen itu, siasatan berkaitan sindiket berkenaan kini sedang dijalankan pihak EAIC.

Sumber Imigresen dilaporkan berkata pihak EAIC sudah menyerbu pejabat Imigresen (bahagian visa) minggu lalu dan merampas beberapa dokumen untuk tujuan siasatan.

Sumber itu juga berkata ada pegawai Imigresen sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.

 

Sumber :  Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.