A view of the sea

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menemui banyak kes baharu bukan saja membabitkan isu integriti seperti rasuah tetapi juga penyalahgunaan kuasa, sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, ia berdasarkan langkah tegas dan agresif dilakukan pihaknya seiring dengan ketegasan pentadbiran kerajaan sekarang yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi tindakan itu, beliau akui ia sememangnya memberi kesan ketara apabila kes integriti direkodkan pihaknya menunjukkan peningkatan.

"Pada pendapat saya tidak boleh mengatakan kes rasuah atau kes integriti meningkat. Tapi mungkin disebabkan sekarang ini kita agresif untuk menangani isu rasuah seperti mana yang dijanjikan oleh kerajaan bahawa kita akan menghapuskan rasuah di seluruh peringkat.

"Jadi kita melihat usaha kita yang berterusan ini menyebabkan kes-kes meningkat. Jadi kita banyak menemukan kes baharu seperti isu integriti.

"Kadang-kadang isu integriti ini tidak semestinya membabitkan isu rasuah tapi menyalahguna kuasa pun satu amalan integriti yang tidak baik," katanya kepada NSTP ketika ditemui di Program 2 Tahun Kerajaan Madani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

 

Mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dikatakan dapat mengurangkan rasuah seperti diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, Ismail berpandangan teknologi berkenaan dapat membantu melakukan pelan prediktif.

Beliau memberi contoh AI berupaya melihat sejauh mana persepsi rakyat atau pun orang awam melihat isu rasuah.

"Kalau sebut predictive AI, maknanya kita kumpulkan maklumat daripada orang awam bagaimana persepsi mereka terhadap rasuah. Bermakna kita kena menggunakan perancangan yang lebih jitu lagi untuk meningkatkan kesedaran rakyat.

"Kalau dulu, untuk dapatkan maklumat mengenai kesedaran orang awam terhadap rasuah...salah satunya adalah kita terpaksa menggunakan tinjauan dan menjalankan kajian di lapangan secara manual.

"Kita kini masih dalam peringkat perancangan (untuk guna AI) dalam membuat sesuatu keputusan. Tapi bukan kata untuk menggunakan AI semata-mata kerana faktor manusia pun masih boleh digunakan dan perlu digunakan," katanya

 

Sumber : Harian Metro

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.