
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) merekodkan lebih 100 kes salah laku membabitkan pegawai penguat kuasa sejak 2023.
Antara kesalahan dilakukan adalah penyalahgunaan kuasa, rasuah serta kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang bertulis.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata kebanyakan kes membabitkan pelanggaran SOP berkaitan proses menggeledah, penyimpanan barang kes serta tindakan sitaan.
Kegagalan mematuhi SOP boleh menyebabkan pegawai terbabit bertindak bertentangan dengan undang-undang bertulis yang berkaitan.
"Agensi yang terbabit telah digesa mengambil tindakan sewajarnya dengan segera," katanya dalam satu temubual khas di Putrajaya, baru-baru ini.
Ismail berkata, majoriti tindakan disiplin yang disyorkan oleh EAIC adalah amaran membabitkan 90 pegawai.
"Cadangan lain termasuk 27 kes penangguhan pergerakan gaji, satu kes pemotongan gaji, tiga kes penurunan pangkat dan 16 kes buang kerja," katanya.
EAIC turut merujuk tujuh kes kepada Jabatan Peguam Negara manakala dua kes lagi dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
Dari segi jenis kesalahan, katanya kegagalan mematuhi SOP atau undang-undang bertulis adalah kes paling banyak direkodkan membabitkan 103 pegawai.
"Ini diikuti kegagalan pegawai mengambil tindakan (18 kes), penyalahgunaan kuasa (12 kes), kesalahan berkaitan rasuah (sembilan kes) dan kesalahan jenayah (empat kes)," katanya.
Jabatan Perikanan paling ramai pegawai tak patuh SOP
Mengikut agensi penguat kuasa, Jabatan Perikanan mencatatkan jumlah pegawai paling ramai terbabit dengan 44 kes, Jabatan Imigresen (38 kes) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (26 kes).
Agensi lain yang turut direkodkan ialah Agensi Antidadah Kebangsaan (14 kes), Polis Diraja Malaysia (sembilan kes), Jabatan Alam Sekitar (enam kes) dan Jabatan Pendaftaran Negara (enam kes).
Bagaimanapun, Ismail berkata daripada semua cadangan tindakan yang dikemukakan kepada agensi terbabit, hanya lapan kes setakat ini telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tatatertib dalam tempoh sama.
Daripada jumlah itu, empat kes diambil tindakan pada 2023, tiga kes pada 2024 dan satu kes pada 2025.
Beliau menegaskan pengurusan tatakelakuan pegawai awam perlu dilaksanakan secara berdisiplin dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Setiap laporan yang dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib perlu diproses mengikut kerangka pengurusan disiplin yang telah ditetapkan," katanya.
Beliau turut berharap semua agensi terbabit memberikan kerjasama penuh dengan mengambil tindakan sewajarnya serta mengemukakan maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan.
Rasuah paling membimbangkan
Dalam pada itu, Ismail berkata masalah rasuah masih menjadi antara kesalahan yang membimbangkan dalam kalangan agensi penguat kuasa, namun ia tidak boleh dijadikan alasan dengan menyalahkan faktor seperti gaji rendah atau beban kerja tinggi.
"Terma ganjaran dan syarat perkhidmatan telah dimaklumkan dengan jelas serta dipersetujui ketika pelantikan.
"Rasuah sebenarnya berpunca daripada sikap tamak individu dan keinginan menjalani gaya hidup di luar kemampuan yang sah," katanya.
Beliau berkata, rasuah memberi ancaman serius terhadap integriti institusi, kepercayaan awam dan keberkesanan tadbir urus, justeru perlu ditangani secara konsisten bagi mengelakkan amalan tidak beretika menjadi kebiasaan dalam institusi awam.
Bagi memperkukuh integriti dalam agensi penguat kuasa, EAIC turut menggalakkan kerjasama pelbagai agensi, meningkatkan kerjasama siasatan serta memperkukuh kerjasama dengan masyarakat sivil bagi menambah baik saluran laporan dan perlindungan pemberi maklumat.
Selain itu, katanya, suruhanjaya berkenaan juga menyokong usaha pembaharuan tadbir urus yang lebih menyeluruh.
"Pada masa hadapan, EAIC merancang meningkatkan pendedahan awam terhadap cadangan siasatan yang masih belum diambil tindakan bagi menggalakkan tahap akauntabiliti yang lebih tinggi dalam kalangan agensi penguat kuasa.
"Kami juga akan terus menggalakkan penubuhan pasukan petugas bersama bagi mengendalikan kes salah laku serius membabitkan anggota penguat kuasa, selain memperkukuh mekanisme pemantauan bagi memastikan cadangan tindakan disiplin dilaksanakan," katanya.
Ismail berkata, matlamat utama EAIC bukan sahaja untuk menangani salah laku apabila ia berlaku, malah membantu membentuk persekitaran tadbir urus yang menekankan integriti, ketelusan dan akauntabiliti sebagai nilai asas dalam perkhidmatan awam.
SUMBER : Berita Harian