
KUALA LUMPUR, 26 Mei –Cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia disifatkan sebagai satu langkah baik bagi memastikan aduan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat ditangani dengan lebih berkesan, sekali gus menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata Ombudsman Malaysia akan menjadi saluran rakyat untuk menyampaikan sebarang aduan berkaitan salah laku, salah tadbir atau kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan, selain berperanan mentransformasikan mutu perkhidmatan awam agar lebih cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Insya-Allah pada tahun depan, Ombudsman Malaysia akan mula beroperasi setelah diluluskan di Parlimen. Sekarang ini, masih dalam peringkat pembuatan rang undang-undang.
“Ini merupakan satu langkah yang baik untuk mentransformasikan perkhidmatan awam, khususnya cara kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness (ERAT) di sini malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Ombudsman Malaysia yang dicadangkan dijangka berperanan sebagai mekanisme utama untuk memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, termasuk mencegah kebocoran identiti pengadu menerusi sistem pengurusan aduan berpusat di bawah satu agensi.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Ismail berkata EAIC menyambut baik keputusan kerajaan menubuhkan Ombudsman Malaysia bagi mengurus aduan melibatkan seluruh agensi awam, yang disifatkan mampu memperkukuh sistem semak dan imbang serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Beliau berkata penubuhan Ombudsman Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi persetujuan Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional pada Disember 2025 diharap dapat berfungsi lebih berkesan berbanding agensi pemantau sedia ada.
“EAIC menyambut baik keputusan ini dan berharap Ombudsman Malaysia kelak akan berfungsi dengan lebih efektif daripada agensi-agensi pemantau yang sedia ada, sekali gus membuktikan setiap ringgit yang diperuntukkan oleh kerajaan benar-benar membawa perubahan yang nyata,” katanya.
Beliau berkata pengalaman, kepakaran dan rekod prestasi yang dibina EAIC sejak 2011 dalam menyelia agensi penguatkuasaan akan menjadi asas kukuh dalam mendepani skop semak dan imbang lebih luas dan menyeluruh menerusi Ombudsman Malaysia.
“Walau apa pun jua wadah atau jenamanya selepas ini, komitmen dan prinsip kerja kita tidak akan pernah berubah, iaitu untuk terus memastikan sistem penyampaian agensi kita kekal bersih, telus dan sentiasa mendapat kepercayaan penuh rakyat,” katanya.
Majlis apresiasi ERAT kali ini menyaksikan 21 agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC serta 13 pengamal media menerima pengiktirafan sebagai penghargaan atas peranan masing-masing serta kerjasama yang diberikan kepada suruhanjaya itu.
SUMBER : Berita RTM