TEKS UCAPAN
TAN SRI SIDEK HASSAN
PENGERUSI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC)
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC) & JASAMU DIKENANG 2022
7 Jun 2023
Millennium Ballroom 1,
Le Méridien, Putrajaya
Bismillahirahhmanirrahim,
Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh
dan Salam Sejahtera,
Barisan Pesuruhjaya,
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),
Puan Norhayati binti Ahmad,
Setiausaha EAIC,
Yang diraikan para penerima anugerah,
Rakan-rakan media, serta
Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi tahun 2022.
2. Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang ini turut diadakan bersekali dengan Majlis Pelancaran Pelan Strategik EAIC 2023 – 2027 dan juga Majlis Pelancaran Sistem Penyelesaian Aduan dan Pengendalian Siasatan (SPAPS) EAIC. Penganjuran 3 majlis di dalam 1 seperti ini, adalah untuk mengoptimum dan menjimatkan perbelanjaan, lebih-lebih lagi perbelanjaan yang melibatkan peruntukan Kerajaan. Yang dibiayai oleh dana awam.
Saudara dan saudari,
3. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada hari ini. SAYA PERCAYA, yang terpilih ini adalah yang terbaik dari kalangan yang baik, dan tidak sekali-kali dipilih mengikut giliran. Dan, proses pemilihan dilakukan dengan penuh ketelitian dan ketelusan bagi mempastikan hanya yang benar-benar cemerlang dipilih.
4. ‘Anugerah Perkhidmatan Cemerlang’ merupakan tanda penghargaan dan terima kasih Kerajaan terhadap prestasi cemerlang seseorang penjawat awam. Ia juga adalah satu bentuk motivasi untuk kita semua terus melaksanakan yang terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kita.
5. Saya yakin kita mampu bergerak bersama ke arah kecemerlangan dan mewujudkan persaingan sihat, dengan niat yang ikhlas untuk memajukan Negara kita. Saya berharap dan berdoa ke hadrat Ilahi agar saudara-saudari penerima anugerah pada hari ini bukan sahaja menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun yang lepas, tetapi lebih penting akan terus meningkatkan kecemerlangan bagi tahun-tahun yang akan datang.
6. Manakala, buat semua warga kerja EAIC jadikanlah anugerah ini sebagai satu pemangkin serta inspirasi ke arah peningkatan prestasi kerja yang cemerlang dan berkualiti. Memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan, tanpa mengira siapa.
Hadirin yang dihormati sekalian,
7. Pada pandangan saya, perkhidmatan terbaik adalah perkhidmatan yang “memudahkan”. Dalam konteks Perkhidmatan Awam, perkhidmatan yang memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan Kerajaan. Tetapi pada masa yang sama tanpa bertolak ansur dalam aspek integriti.
8. Bagi mencapai tujuan tersebut, kita selaku penjawat awam, perlu faham apa kehendak pelanggan. Kita perlu peka dengan setiap keluh kesah pelanggan. Kita juga perlu prihatin dengan setiap aduan pelanggan. Dengan memudahkan urusan pelanggan dan lain-lain pemegang taruh, kecemerlangan individu atau organisasi pastinya akan terserlah.
9. Dalam memudahkan urusan pelanggan, ia tidak semestinya melibatkan kepada pelaburan yang besar. Dalam banyak kes, cukup melalui penambahbaikan proses dan prosedur dalaman. Dengan mengkaji semula dan menambah baik peraturan-peraturan dan sekiranya tidak perlu lagi memansuhkannya. Ini boleh memberikan impak yang signifikan kepada pelanggan.
Saudara dan saudari,
10. Seiring dengan pembudayaan masyarakat celik IT, dan mengambil kira kebanyakan urusan kini dilakukan secara atas talian, EAIC harus memastikan sistem penyampaian kita juga seiring, dan seboleh-bolehnya dihadapan perubahan.
11. Sehubungan dengan ini, selaras dengan perkembangan teknologi, EAIC telah membangunkan Sistem Penyelesaian Aduan dan Pengendalian Siasatan (SPAPS), yang mana pengurusan aduan dan pengendalian siasatan dibuat sepenuhnya secara atas talian. Bagaimanapun, EAIC masih akan terus menerima aduan daripada saluran-saluran lain antaranya e-Aduan, e-Mel, surat rasmi dan surat layang, atau hadir sendiri ke Pejabat EAIC.
12. Sistem SPAPS ini akan dapat memberi manfaat kepada orang ramai untuk menyalurkan aduan dengan lebih pantas, dan seterusnya dapat mengikuti perkembangan aduan mereka secara atas talian. Sistem ini membolehkan Pegawai Siasatan EAIC untuk menguruskan aduan diterima serta mengendalikan siasatan dengan lebih efektif kerana dokumen berkaitan yang diperlukan boleh diakses dengan lebih mudah dimana sahaja, tanpa kebergantungan kepada fail fizikal.
Saudara-saudari,
13. Dalam apa jua keadaan, apa yang penting ialah perubahan minda. Dengan sedikit daya kreativiti dan inovasi, serta bantuan teknologi terkini memungkinkan sesuatu yang sebelum ini sukar dilakukan, menjadi mudah; yang dulu lambat dilaksanakan, menjadi cepat. Untuk berupaya memberikan perkhidmatan yang terbaik, sesebuah organisasi perlu mempunyai arah, tujuan dan matlamat yang jelas untuk memudahkan semua pihak menggembleng tenaga mencapainya.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
14. Pelan Strategik EAIC 2017 – 2022 adalah berteraskan pengukuhan hala tuju EAIC dalam penguatkuasaan, transformasi dan pembudayaan integriti di kalangan agensi pengkuatkuasaan seliaan. EAIC telah membangunkan Pelan Strategik EAIC 2023 – 2027 bagi meneruskan kesinambungan Pelan Strategik EAIC 2017 – 2022.
15. Pelan Strategik EAIC 2023 – 2027 ini mengandungi 4 Teras Strategik, 17 Strategi dan 41 Program. Pemantauan secara berterusan akan diadakan dan laporan Pencapaian Pelaksanaan Program EAIC daripada Bahagian/Seksyen/Unit bertanggungjawab akan dibentang dan dipantau secara berkala oleh Pesuruhjaya EAIC.
16. Saya ingin berkongsi beberapa aspek yang perlu diberi penekanan dalam memastikan kejayaan sesuatu pelan.
17. Pertamanya, “simplicity” atau mudah. Pelan yang dihasilkan perlu mudah difahami dan mudah dilaksanakan. Baik oleh pegawai atau oleh pelanggan. Mudah bermaksud bahawa pelan tersebut bersifat “friendly” kepada semua, tanpa mengabaikan objektif yang dihasratkan. Pelanggan sentiasa mengharapkan perubahan dan kemajuan positif dari segi kualiti dan juga dari segi kuantiti perkhidmatan awam. Oleh yang demikian, apa jua penambahbaikan yang diusahakan perlu memastikan perkhidmatan yang lebih cepat dan yang lebih mudah kepada pelanggan.
18. Kedua, fleksibel. Hendaknya pelan yang diusahakan tidak bersifat terlalu “rigid”. Ia perlu mempunyai elemen-elemen penambahbaikan sekiranya terdapat cadangan-cadangan atau idea yang bersesuaian untuk memperbaikinya, tanpa mengira dari mana atau siapa yang mengemukakan idea serta cadangan-cadangan tersebut.
19. Ketiga, pelan berkenaan hendaklah digunakan. Pelan yang dihasilkan kebiasaannya amat komprehensif dan dilihat cukup sempurna bagi mencapai objektif organisasi. Tetapi kalau ianya tidak dilaksana, tidak diguna, ianya tidak berguna.
20. Keempat, “leadership” atau kepimpinan. Usaha murni sebegini, amat perlu kepada “leadership”, bukan sahaja di peringkat pengurusan tertinggi dalam organisasi, tetapi merangkumi kepimpinan di setiap bahagian dan di setiap unit, di setiap diri dalam organisasi. Sehingga ke peringkat akar umbi. Ini akan mengelakkan sikap sambil lewa dan lepas tangan.
21. Kelima, ialah pemantauan. Fokus terhadap pemantauan pelaksanaan pelan yang digubal perlu dilaksanakan secara berterusan. Menerusi pemantauan ia dapat membantu kita untuk membuat penilaian, mengetahui kekurangan serta kelemahan yang wujud, dan seterusnya melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.
22. Saya berharap langkah-langkah yang saya gariskan sebentar tadi dapat menjadi panduan dalam melaksanakan pelan masing-masing dengan sebaiknya, supaya transformasi yang dihasratkan akan mewujudkan lonjakan berganda yang memberi impak lebih besar daripada aspek penyampaian perkhidmatan.
Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
23. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua yang pernah berkhidmat di EAIC, dan kini bertugas atau kembali bertugas di agensi kerajaan yang lain, antaranya Jabatan Peguam Negara. Jasa dan khidmat yang diberikan oleh saudara-saudari semua, dalam membangunkan EAIC amatlah dihargai.
Saudara-saudari sekalian,
24. Izinkan saya memetik kata-kata pengasas Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPAC), Datuk Faridah Merican. “We will not be here forever nor will our work ever end”. Kita tidak akan berada disini selamanya dan kerja kita tidak akan pernah berakhir. “We just have to keep planting seeds and hope it will grow strong. Strong enough to stand on its own and provide shade for the next generation”. Kita akan terus menanam biji-biji integriti di EAIC dan di seluruh Perkhidmatan Awam dan di seluruh Negara.
25. Pada saya tugas paling penting pengurusan tertinggi ialah pengurusan sumber manusia. “Human Resource Management”. Inilah aset paling penting di EAIC; atau dimana sahaja. Aset ini yang akan menentukan kejayaan sesuatu organisasi, sesuatu pelan tindakan. Kejayaan apa sahaja. Oleh itu amat penting kita mempunyai modal insan yang kekal lama, yang komited dan terus berkhidmat dan merasa gembira, selesa dan bangga di EAIC. Sebab itu setiap organisasi, baik yang besar seperti PETRONAS atau yang kecil seperti EAIC perlu “grow our own timber”. Yang perlu diberi air dan baja yang baik dan mencukupi. Agar boleh dijadikan tiang-tiang yang kuat. Termasuk satu hari nanti, sebagai tiang seri, insya Allah. Dan, pohon-pohon yang menghasilkan benih yang baik-baik. Untuk kelestarian.
Saudara-saudari sekalian,
26. Untuk terus relevan, EAIC perlu bertindak dengan cepat, tepat dan berkesan. Lebih-lebih lagi tentang isu integriti. Dalam meningkatkan lagi proses penyampaian dan kecekapan perkhidmatan kelas pertama, pelaksanaan program percambahan ilmu, pembangunan kompetensi dan seumpamanya perlu diadakan secara berterusan. Latihan secara intensif, terutamanya berkaitan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada EAIC, antaranya pengendalian aduan dan siasatan serta pengauditan prosedur operasi standand; akan dipergiat bagi memastikan EAIC dapat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya.
27. Dalam melahirkan modal insan cemerlang, bimbingan dan dorongan oleh mereka yang berpengalaman berupaya membentuk kemahiran dan memacu kemajuan kerjaya warga EAIC.
28. EAIC telah mempraktik program mentor-mentee secara dalaman mengikut bahagian di mana setiap kakitangan baru dibimbing oleh kakitangan lebih senior. Program ini telah membantu peningkatan motivasi dan produktiviti warga baru dan lama. Program mentor-mentee ini akan diperluaskan secara menyeluruh di EAIC dan di aplikasi secara inter division atau antara bahagian, di mana sebagai contoh pegawai dari Bahagian Operasi akan di“mentor” oleh Bahagian Dasar dan sebagainya. Atau oleh lain Pegawai atasan, atau teratas. Bukan sahaja sebagai formal dan “structured” tetapi juga yang kurang formal, tetapi secara berterusan. Sebagai budaya.
Saudara dan saudari sekalian,
29. Dalam kesibukan kita melaksanakan tugas yang diamanahkan, jangan pula kita lupa terhadap kepentingan kesihatan serta tanggungjawab kepada keluarga. Saya suka menasihatkan agar di samping kita melaksanakan tugas-tugas seharian, penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti luar juga akan dapat membuka ruang kepada kita agar dapat berfikir dan bertindak dengan lebih kreatif dan inovatif. Tubuh badan yang sihat, serta minda yang cergas membolehkan seseorang melahirkan idea yang bernas.
30. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022. Semoga anugerah ini dapat menjadi sumber motivasi bukan sahaja kepada penerima, malah kita semua untuk terus sama-sama memberi perkhidmatan terbaik, demi Negara. Demi Malaysia. Insya Allah.
Sekian,
Wabillahitaufikwalhidayah,
Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.