BUTTERWORTH, 20 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 55 warga asing dalam serbuan di Pasar Borong Padang Lalang, Bukit Mertajam dekat sini awal Sabtu. Pengarahnya Abdul Rahman Hassan berkata 62 warga asing yang bekerja di pasar borong itu diperiksa dalam operasi empat jam berakhir pukul 2 pagi. Katanya mereka yang ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah terdiri daripada 42 Myanmar, 12 Bangladesh dan seorang warga Nepal. "Terdapat segelintir pekerja asing terbabit cuba melarikan diri selain ada yang bersembunyi dalam tong ikan, namun usaha mereka gagal kerana pasar borong itu telah dikepung oleh 80 anggota penguat kuasa," katanya dalam kenyataan di sini. Beliau berkata sebahagian besar warga asing berkenaan cuba meraih simpati dengan mengemukakan kad pengenalan dan permit kerja yang dikeluarkan di negara asal mereka namun pihaknya tidak mengiktiraf dokumen sedemikian. Abdul Rahman berkata kesemua warga asing berumur lingkungan 18 dan 40 tahun itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Juru untuk siasatan lanjut. Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber : Bernama