PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah menjalankan 75,851 pemeriksaan di premis perniagaan seluruh negara sejak pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen dilaksanakan pada 2 Oktober lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, berkata daripada pemeriksaan itu, hanya 47 kes kesalahan dicatatkan dan kebanyakannya adalah kes tidak meletakkan tanda harga barang.
"Memang ada kes mengenai kenaikan harga barang tapi tidak banyak.
"Selain itu, dari 47 kes yang kita catatkan, 24 sudah diambil tindakan," katanya pada sidang media selepas mengumumkan harga maksimum barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2014 di sini, semalam.
Sumber : Berita Harian Online