KUALA LUMPUR -- Penahanan pegawai kanan dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disyaki terbabit dalam rasuah baru-baru ini adalah hasil kerjasama jabatan itu sendiri dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam usaha meningkatkan kembali imej dan integriti mereka. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata kerjasama JKDM dan SPRM itu jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan membanteras gejala rasuah dalam bidang penguatkuasaan negara. "Ini adalah satu perjalanan untuk meningkatkan lagi integriti di jabatan itu, kita minta masyarakat tidak melihat ia sebagai satu sudut yang negatif, ia adalah satu proses pembersihan. Malah gejala rasuah itu tidak melibatkan seluruh pegawai kastam, yang penting adalah bagaimana perkara seperti ini tidak akan berulang lagi dan ia dicegah pada masa hadapan," katanya kepada Bernama selepas sesi wawancara Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, hari ini. Abu Kassim berkata pihaknya melalui bahagian perundingan dan pemeriksaan juga akan bekerjasama dengan jabatan itu dalam mengenal pasti bidang-bidang pengurusan yang berisiko tinggi terhadap aktiviti penyelewengan dan rasuah. "Ketika ini Malaysia dikatakan antara negara yang mempunyai pengaliran keluar wang haram yang cukup tinggi di dunia. Oleh itu selain dari kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai, bahagian perundingan dan pemeriksaan (SPRM) akan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh," katanya. Sejumlah 30 pegawai kanan dan anggota jabatan itu ditahan sejak 3 Sept lepas dalam operasi khas SPRM berhubung aktiviti rasuah membabitkan penyeludupan minuman keras tanpa duti dan cukai kastam membabitkan kerugian RM4 bilion kepada negara. Daripada jumlah itu, 25 orang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam, Kuala Lumpur dan Ipoh secara berperingkat. Penahanan semua individu itu hasil pemantauan lebih setahun di kawasan PKFZ.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.