Bot pukat tunda ganding ditahan

KUANTAN  - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo tempatan bersama seorang tekong dan 21 awak-awak warga Vietnam kerana disyaki menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding di perairan Kuala Pahang, Pekan dekat sini kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 8 (DM8), Kapten Maritim Mamu Said Alee berkata, bot berkenaan dikesan melakukan kegiatan itu kira-kira 72 kilometer dari timur Kuala Pahang pada pukul 7 malam.

"Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot yang didaftarkan sebagai KARANG 1 itu berlaku sedikit pergelutan antara anggota dan awak-awak bot berkenaan.

"Bagaimanapun, tekong dan semua awak-awak yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 46 tahun itu berjaya ditahan dan dibawa ke Pangkalan Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mamu, siasatan awal mendapati 17 daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Siasatan akan diteruskan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta imigresen 1959/63," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tangkapan tersebut merupakan yang ketiga dalam tempoh tiga hari dan tangkapan ke-31 yang dilakukan DM8 sepanjang tahun ini.

Tambahnya, operasi rondaan akan terus dipertingkatkan di kawasan perairan Kuantan hingga ke Rompin bagi membanteras aktiviti seumpama ini.

"Orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi DM8 di talian 09-5717345 untuk sebarang aduan kesalahan di laut,"ujarnya.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.