KUALA LUMPUR -- Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mendakwa individu atau beberapa individu yang menyebabkan kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock, jika terdapat keterangan mengikut keadaan yang kukuh untuk berbuat demikian. Kenyataan AGC hari ini menyebut ketika ini, polis membentuk satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu dan jabatan berkenaan akan membuat keputusan selepas siasatan selesai. "Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara ingin menegaskan bahawa syak wasangka semata-mata, tidak kira betapa kuat, tidak akan membuahkan sebarang pendakwaan dalam mana-mana kes," katanya. Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Teoh adalah disebabkan oleh tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. Ketika menukar keputusan terbuka dalam kes itu, panel tiga hakim berkenaan yang diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memerintahkan agar satu siasatan lebih terperinci dijalankan berhubung kematian Teoh, tanpa mengecualikan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Teoh, 30, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat SPRM pada pagi 16 Julai 2009. Dalam keputusan sebulat suara, panel Mahkamah Rayuan yang turut dianggotai Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengetepikan keputusan terbuka yang dibuat Mahkamah Koroner dan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan semakan semula oleh keluarga Teoh. Ketiga-tiga anggota panel itu menyediakan penghakiman bertulis masing-masing. Mah, yang membacakan penghakiman beliau terlebih dahulu, memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan iaitu ketika berada dalam tahanan pegawai SPRM. Beliau berkata Teoh dipanggil ke pejabat SPRM sebagai seorang saksi dan tertakluk kepada soal siasat sehingga awal pagi, yang jelas menunjukkan bahawa hak mendiang telahpun dicabuli.

Sumber : Bernama Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.