Saman maksimum RM300 mula 1 Novjpg

IPOH - Pemilik kenderaan yang masih berdegil memasang aksesori lampu tambahan (strobe light) dan menggunakan nombor plat tidak dibenarkan akan dikenakan saman maksimum RM300 bermula 1 November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, langkah itu diambil selepas arahan yang dikeluarkan kepada pemilik kenderaan agar tidak melakukan kedua-dua kesalahan tersebut sebelum ini tidak diendahkan.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati penggunaan aksesori lampu tambahan menjadi antara punca berlakunya kemalangan jalan raya.

"Langkah meningkatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan ini bermula sejak semalam namun inisiatif itu lebih bersifat sebagai peringatan kepada pemilik kenderaan.

"Tindakan saman akan mula dilaksanakan 1 November ini sekiranya pemilik kenderaan masih berdegil menggunakan aksesori lampu tambahan serta nombor pendaftaran yang tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Op Lebih Muatan dan Penguatkuasaan Nombor Pendaftaran Kenderaan di Hotel Casuarina, di sini hari ini.

Menurut Ismail, bagi memastikan perkara itu berjalan lancar, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua pengarah negeri bagi membincangkan kaedah yang akan diambil.

Katanya, hanya tiga warna dibenarkan untuk lampu kenderaan di jalan raya iaitu lampu brek berwarna merah, lampu isyarat kenderaan berwarna kuning dan lampu utama berwarna putih.

"Kita akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sama ada memerlukan penubuhan unit khas untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan itu atau sebaliknya.

"Tindakan tegas ini dikuatkuasakan kerana sikap pengguna jalan raya yang tidak mengendahkan penguatkuasaan sebelum ini. Oleh itu, kita beri peluang untuk mereka sehingga 31 Oktober ini sebelum JPJ mengambil tindakan saman maksimum RM300," katanya.

Ismail memberitahu, JPJ juga akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat yang didapati membawa lebihan muatan dan tindakan tegas sudah bermula sejak 1 September lalu.

Katanya, sebanyak 4,871 saman sudah dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik lori yang didapati membawa barang lebih muatan bermula Januari sehingga Khamis lalu.

"Dua saman akan dikeluarkan bagi kesalahan ini iaitu saman kepada pemandu dan satu lagi saman kepada syarikat kenderaan berat berkenaan," katanya.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.