JOHOR BAHRU - Bukan mahu mencari alasan apatah lagi menuding jari kepada pihak lain, hakikatnya dalam usaha giat dijalankan bagi membanteras penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), polis sentiasa menghadapi pelbagai kekangan yang mampu merencatkan usaha itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid ketika diajukan soalan itu tidak menafikan wujudnya kekangan seperti kekurangan anggota dan aset yang dilengkapi peralatan canggih.

Menurutnya, selain Pasukan Polis Marin (PPM) yang bertanggungjawab menjaga perairan negara, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut digerakkan dan ditugaskan di pesisir pantai terutama di sepanjang pantai barat Semenanjung dan pantai timur Sabah.

"Buat masa ini, PPM masih kekurangan aset rondaan dilengkapi peralatan canggih serta bot dengan kelajuan yang mampu memintas bot digunakan sindiket penyeludupan termasuk PATI yang dikesan menggunakan enjin berkuasa tinggi.

"Begitu juga dengan kekurangan kelengkapan infrastruktur seperti ketiadaan pangkalan hadapan (markas operasi dan taktikal) sebagai pangkalan utama dalam usaha membanteras aktiviti-aktiviti haram di perairan negara.

"Kita (PPM) turut menghadapi kekurangan keanggotaan yang bukan sahaja berperanan menangani jenayah penyeludupan PATI tetapi juga dalam menguatkuasakan undang-undang maritim lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Salleh, sejak kerajaan meluluskan pengawasan PPM di perairan negara tanpa sempadan pada Januari lalu, pihaknya sedang rancak menyusun semula strategi yang diperlukan termasuk cabaran daripada aktiviti penyeludupan PATI.

Dalam pada itu, ditanya apakah tindakan polis dalam menangani laluan tikus yang sudah dikenal pasti, Salleh berkata, kemampuan dan kepakaran dalam mengumpul risikan mengenai penyeludupan manusia dan jenayah lain sentiasa diberi keutamaan.

Selain itu, katanya, pelbagai operasi termasuk operasi bersepadu turut dipertingkat sekali gus diperhebatkan.

Sehubungan itu, beliau berharap, usaha untuk menambah keanggotaan selain perolehan pembelian bot-bot ronda serta membangunkan pangkalan hadapan sebagai markas taktikal terutama di perairan Sabah dan Sarawak dapat ditangani segera.

"Dalam masa sama, kita turut meningkatkan kerjasama penugasan dengan agensi penguat kuasa tempatan dan luar negara yang bersempadan dengan Malaysia akan terus diperhebatkan sekali gus bersama dalam menangani jenayah seumpama itu," ujarnya.

Sumber :Utusan Malaysia

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.