MELAKA, (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan koordinasi yang lebih mantap dengan agensi penguatkuasaan lain dalam usaha menurunkan jumlah kemalangan maut dan kadar jenayah sepanjang perayaan Aidilfitri ini. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua lebuh raya dan jalan persekutuan yang dikenalpasti akan dipantau secara rapi selain menempatkan anggota paramedik bagi mengelak kemalangan maut. "Kemalangan yang menyebabkan kematian meningkat setiap tahun dan saya telah meminta Ketua Polis Negara dengan semua pengarah-pengarah di Bukit Aman dan Ketua Polis Negeri memastikan koordinasi ini dilakukan dengan jayanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama kakitangan KDN Melaka di sini, pada Rabu. Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron. Beliau berkata koordinasi itu turut melibatkan penempatan kira-kira 1,400 anggota Jabatan Pertahanan Awam di jalan-jalan persekutuan yang tidak dipantau polis bagi memaksimumkan usaha menyelamat di sesuatu laluan. Selain itu, katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan, RELA dan pihak berkuasa tempatan akan dilibatkan secara lebih efektif pada Ops Selamat kali ini. Sementara itu, katanya, jenayah kecurian dan pecah rumah yang sering berlaku semasa musim perayaan juga akan diberi perhatian melalui penglibatan Komuniti Kepolisan seperti Rukun Tetangga dan badan bukan kerajaan di sesuatu kawasan perumahan. Ahmad Zahid berkata PDRM akan turut mewujudkan perkhidmatan on-line bagi memudahkan orang ramai yang pulang ke kampung memaklumkan ketiadaan mereka di rumah ketika sambutan Aidilfitri.
 

Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.