KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata anggota RELA berumur 46 tahun itu ditahan di Kuala Kangsar, Perak pada Rabu lepas dan anggota TLDM berusia 29 tahun itu ditahan di Sandakan, Sabah, Jumaat. "Tangkapan terbaharu ini merupakan susulan kepada operasi khas ke atas anasir militan yang dilancarkan oleh bahagian Counter Terrorism (cawangan khas Bukit Aman) sejak 28 April lepas," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, lewat Sabtu. Beliau berkata anggota RELA itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam menghasilkan raifel buatan sendiri dan membekalkan peluru kepada anasir-anasir militan untuk menjalani latihan menembak di Gunung Arang Para, Kampung Nyior Ketior, Kuala Kangsar pada Disember tahun lepas. "Turut dirampas semasa operasi itu ialah sepucuk raifel buatan sendiri dan 433 butir peluru," katanya. Khalid berkata anggota TLDM itu pula ditahan kerana disyaki bertanggungjawab membantu anggota militan menyusup masuk dari Selatan Filipina ke Sandakan pada 11 Jun lepas. Menurutnya, polis juga menyerbu sebuah rumah di Shah Alam Sabtu yang disyaki menjadi 'safe house', tempat pertemuan dan transit oleh anggota-anggota militan asing yang mempunyai hubungan dengan anggota militan yang telah ditangkap sebelum ini. Seramai 19 orang ditangkap pihak berkuasa sejak operasi khas ke atas anasir militan dimulakan pada 28 April lepas. Kesemua suspek yang ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA iaitu berkaitan dengan keganasan Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, katanya. Sumber - BERNAMA

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.