Ipoh: Ujian saringan awalan air kencing secara rambang terhadap 87 anggota polis yang menyertai Kursus Pemantapan Integriti di Kem Bina Negara, Ulu Kenas, Kuala Kangsar, mengejutkan apabila 14 daripada mereka didapati positif dadah.
Ujian itu dilakukan oleh Unit Operasi Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Integriti Tatatertib Bukit Aman dan Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman antara jam 10 malam Ahad lalu hingga jam 4.58 pagi kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata berikutan itu semua 14 anggota polis pangkat rendah berkenaan yang bertugas di pelbagai unit dan negeri sedang disiasat dan sampel air kencing mereka dihantar untuk ujian makmal bagi pengesahan lanjut.
Katanya, mereka juga tidak dibenarkan meneruskan kursus berkenaan dan diarahkan pulang ke unit masing-masing sementara menunggu pengesahan dan tindakan lanjut terhadap mereka.
Sumber : Berita Harian