HULU LANGAT : Prosedur pemeriksaan keselamatan oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak perlu dirombak hanya kerana dua individu berjaya membolosinya menggunakan pasport curi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua pasport curi tersebut tidak dimasukkan sebagai senarai suspek dalam pangkalan data Polis Antarabangsa (Interpol) dan kerana itu, pegawai Imigresen yang melakukan pemeriksaan gagal mengesan sebarang keraguan pada dokumen tersebut.

"Pihak berkuasa kita sentiasa mendapat kerjasama daripada Interpol yang mempunyai maklumat terhadap lebih 40 juta pasport yang dilaporkan hilang di seluruh negara.

"Jika Interpol meletakkan senarai suspek pada dua pasport itu, maka semua kaunter Imigresen di seluruh Malaysia akan berjaga-jaga namun oleh kerana tidak dimasukkan (dalam senarai), maka mustahil untuk kita menyemak keseluruhannya.

"Saya amat yakin dengan kebolehpercayaan pegawai Imigresen yang berada di kaunter pemeriksaan KLIA," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Zahid ditanya mengenai langkah susulan pihak berkuasa negara selepas kerajaan Thailand dilapor akan merombak kawalan keselamatan mereka ekoran wujud kegiatan jual beli pasport di negara itu.

Kehadiran dua individu menggunakan pasport palsu itu mendapat tumpuan media seluruh dunia susulan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari KLIA ke Beijing, China pada pukul 2.40 pagi, Sabtu lalu.

Terdahulu, hari ini, Ketua Pengarah Imigresen, Aloyah Mamat dalam sidang akhbar memaklumkan pihaknya telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika memeriksa dua penumpang itu sebelum menaiki MH370.

Sumber : Utusan

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.