KUANTAN 4 Ogos – Enam anggota penguat kuasa sebuah jabatan di negeri ini akan dihadapkan ke mahkamah Khamis ini kerana didakwa terlibat dalam kes meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM30,000 hujung tahun lalu.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Zainul Darus berkata, keenam-enam anggota penguat kuasa berusia antara 20 hingga 50 tahun itu bakal didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Mereka ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan tersebut di Muadzam Shah, Rompin pada Disember tahun lalu melibatkan amaun berjumlah RM30,000 dan penahanan sebuah lori membawa muatan kayu.
“Pembayaran awal berjumlah RM7,000 dibuat sebelum penyerahan wang selebihnya berjumlah RM23,000 yang mengakibatkan mereka terperangkap,†katanya dalam sidang akhbar pada Program Pencegahan Rasuah SPRM Negeri Pahang Bersama Ketua Jabatan dan Komuniti di Kompleks SPRM Pahang di sini hari ini.
Menurut Zainul, pihaknya menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membawa kes itu ke mahkamah selepas siasatan selesai.
Berhubung program pencegahan rasuah, beliau berkata, ia diadakan setiap tahun bagi merapatkan jurang antara SPRM dan anggota masyarakat.
“Kami mengharapkan sokongan masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat dan perbuatan rasuah. Setiap laporan yang kami terima akan mendapat siasatan sewajarnya.
“Jangan takut untuk memberi maklumat berkaitan rasuah kerana SPRM merahsiakan segala identiti mereka yang berbuat demikian,†katanya.
Sumber : Utusan Online