KUALA LUMPUR 22 Julai – Orang ramai perlu bijak dan peka terhadap kesahihan latar belakang rumah anak yatim atau madrasah yang mengutip derma agar tidak mudah tertipu dengan mana-mana sindiket.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, surat kebenaran sahih yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam kebiasaannya akan memaparkan tarikh luput, berbeza dengan surat palsu.
Beliau berkata, sekiranya terdapat keraguan sama ada kutipan derma tersebut sah atau tidak, adalah lebih baik bagi masyarakat untuk tidak menyumbang bagi memastikan aktiviti menipu itu tidak terus berleluasa.
“Paling menyedihkan apabila golongan tersebut kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu dan Islam sekali gus akan menjejaskan nama Majlis Agama Islam yang dilihat seolah-olah tidak memberi perhatian dan bantuan kepada mereka.
“Selain itu, ia juga akan mencemarkan imej Islam yang jelas tidak mengizinkan umatnya untuk meminta sedekah, orang miskin layak menerima bantuan tetapi bukan ini caranya,†katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewujudkan satu pelan tindakan bagi mengekang sindiket kutipan derma atas nama agama dan kebajikan yang semakin berleluasa di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, bagi tujuan penyelarasan tindakan, pihaknya turut bekerjasama deÂngan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, tidak salah jika masyarakat suka menderma memandangkan agama Islam menggalakkan perkara tersebut.
Walau bagaimanapun katanya, adalah haram sekiranya seseorang itu menghulurkan bantuan kepada mereka yang menipu serta mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain demi kepentingan peribadi.
“Oleh sebab itu, sebelum memberi derma, orang ramai perlu memastikan mereka adalah bukan penipu. Secara logiknya, masjid atau rumah kebajikan tidak akan menggunakan kanak-kanak meÂlakukan pekerjaan tersebut.
“Pihak penguat kuasa juga perlu bertindak tegas agar sindiket haram yang menguasai kutipan derma akan dibanteras di samping menghalang mereka daripada terus membuat dosa dengan menipu orang ramai,†katanya.
Dalam pada itu, Noh turut memberi jaminan bahawa golongan miskin dan anak-anak yatim akan dibantu sekiranya masalah mereka dibawa ke MAINJ.
“Kami akan berusaha dan memberi pertolongan sekadar yang mampu dengan bantuan pihak yang berwajib agar sumbangan dan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasaran,†katanya.
Sumber : Utusan Online