KUALA LUMPUR 3 Julai - kerosakan nilai integriti di semua peringkat dalam agensi penguat kuasa dan pemimpin masyarakat di Sabah berada pada tahap kronik sejak bertahun lamanya sehingga memerlukan satu langkah pemulihan secara total.

Timbalan Ketua Pesuruhja­ya (Pencegahan), Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustaffar Ali berkata, rasuah melibatkan individu yang memegang kuasa menjadi punca kepada segala masalah sehingga mewujudkan minda dan sistem yang korup.

Katanya, kawalan keselamatan di sempadan negara juga menjadi terlalu longgar kerana masih wujud sikap ‘kawasan aku, aku jaga’ dalam kalangan agensi penguat kuasa menyebabkan aktiviti jenayah seperti penyeludupan terus berlaku sehingga diambil kesempatan oleh anasir luar untuk mengancam keselamatan negara.

Tegasnya, masalah tersebut menyebabkan SPRM terpaksa mencari satu langkah penguatkuasaan dan penyelesaian total di luar daripada kebiasaan untuk memastikan semua agensi itu kembali bekerjasama secara bersepadu dalam satu pasukan.

“Apabila kita nampak, isu ini sangat nyata. Kalau pergi ke sana, tengok keadaannya, ia memang sangat menakutkan. Isu yang berlaku di situ secara total, segala macam penyeludupan dan ketirisan, daripada sekecil-kecilnya sampai sebesar-besarnya berlaku secara total.

“Tindakan bersepadu antara agensi, ada yang dikatakan tidak menjaga wilayah masing-ma­sing, ini aku punya bidang awak jangan sentuh, kalau ini masih ada dalam minda, jabatan aku, aku ambil tindakan, maka payah untuk kita bersepadu.

“Dulu perkara ini berlaku, sekarang saya harap tidak lagi, kita sudah ambil tindakan tetapi masih ada sesetengah pihak begitu jadi kita gabungkan, kita kata masalah ini sangat nyata maka tindakan total akan berlaku,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk Isu dan Cabaran Integriti & Keselamatan Negara: Dalam Konteks Pengalaman Di Lahad Datu di Institut Integriti Malaysia di sini hari ini. Turut menjadi ahli panel adalah Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar manakala Presiden IIM, Dr. Anis Yusal Yusoff bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, sejak ditugaskan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), beliau mendapati aktiviti penyeludupan terutama barangan bersubsidi berlaku secara berleluasa tanpa kawalan pihak berkuasa bukan sahaja di kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer itu malah tempat-tempat lain di Sabah.

Katanya, selain kekangan daripada segi aset, kewujudan beberapa pulau berhampiran pantai ti­mur Sabah yang selama ini menjadi laluan utama penyeludupan merupakan antara ancaman besar yang dihadapi pihaknya dalam men­jaga keselamatan ne­geri itu.

“Benda ini saya buat kajian, saya melihatnya sendiri. Ketirisan minyak di sana, petrol di sana harganya RM3 (seliter) sewaktu harga sebenar RM1.95, kita menghadapi masalah agensi penguatkuasaan, semua agensi.

Perkara ini tidak perlu selindung, kalau betul kita sayangkan Sabah, sayangkan negara, sayangkan Esszone, hentikanlah. “Semua agensi ada masalah integriti, saya tahu masalah penyeludupan ini telah berakar umbi, orang telah buat duit bertan-tan, dari Sandakan pergi ke Tawau, ada rangkaian balik ke Kota Kinabalu, itulah rangkaiannya, jadi masalahnya sekarang orang kita sendiri akan rugi sebab barang subsidi pergi negara jiran.

“Di Lahad Datu, saya mahu bersihkan kawasan setinggan tetapi ada orang politik masuk campur, orang tempatan yang buat rumah di situ perlu bayar RM1,200, pendatang asing pula RM8,000, mereka ini turut berpakat dengan syarikat pembekal tenaga untuk mencuri tenaga elektrik, patutlah mula-mula saya sampai dulu selalu ‘blackout’,” tegasnya.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.