KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi suspek lelaki yang cuba merasuah anggota penguat kuasa dalam Ops Sejuk di Cameron Highlands, susulan penahanan 21 pekebun sayur sejak Selasa lepas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata suspek berumur 42 tahun itu menyerah diri di pejabat SPRM di Meru, Ipoh kira-kira pukul 4 petang semalam.

"Dengan penangkapan tersebut, sehingga kini, 22 orang termasuk seorang warga Bangladesh ditahan SPRM.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi suapan kepada penguat kuasa agar tidak mengambil tindakan terhadapnya yang mengusahakan kebun secara haram," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Menurut Mohd Shukri, suspek telah dilepaskan dengan jaminan RM5,000 oleh seorang penjamin.

Ops itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara sejak enam bulan lalu dan SPRM akan meneruskan pemantauan di kawasan Cameron Highlands bagi membanteras gejala rasuah, yang dikaitkan dengan aktiviti penerokaan tanah secara haram di kawasan tanah tinggi itu.

Dalam kes berasingan, SPRM juga menjelaskan isu pengagihan beras subsidi Super Tempatan (ST15) telah selesai.

"Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk tindakan susulan," katanya.

-- BERNAMA

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.