IJAZAH sudah dapat. Resume berpuluh-puluh sudah dihantar. Namun tawaran kerja masih juga tidak lekat. Otak kian berserabut apabila ibu bapa mula bising mengharapkan anak-anak dapat membantu mereka. Setahun ber­lalu, penaja pengajian pula me­nuntut hutang.

Memang ramai yang sudah bekerja tapi bukan kerja tetap. Bagaimana hendak bayar sekiranya gaji yang dapat pun mereka tidak mampu menghulurkan belanja kepada orang tua? Beberapa hari sebelum gaji, duit dalam akaun simpanan cuma tinggal RM11. Nasi mula berlaukkan telur goreng dan kicap.

Hari-hari melihat kalendar, menghitung tibanya hari gaji. Kalau berlaku kecemasan, memang sudah tahu kepada siapa harus ditebalkan muka untuk berhutang. Tentulah adik-beradik atau paling memalukan orang tua yang sepatutnya sudah pencen menyara anak-anak.

Kalaulah boleh diputarkan masa, lebih baik tidak payah sambung belajar. Buang masa sahaja. Gaji yang diterima sekarang bawah daripada setimpal dengan kelayakan akademik yang ada. Cuma lebih sedikit daripada gaji lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika ditolak hutang pengajian. Agak-agaknya sekiranya jadi operator kilang setelah tamat SPM dulu, tentunya sudah naik pangkat jadi supervisor.

Maka ada yang terfikir, sudah silap percaturankah? Ada juga yang menyalahkan, mengapa universiti menawarkan kursus yang kurang pasaran kerja? Universiti mesti tahu kursus mana yang kritikal. Bukan hanya tahu mendabik dada ketika menerima paling ramai mahasiswa-mahasiswi mendaftar di awal semester.

Semasa mempromosikan universiti di Karnival Jom Masuk U, manis sungguh mulut pegawai bertugas. “Walau keputusan adik tidak melayakkan adik mengambil jurusan kejuruteraan, adik masih boleh mengambil kursus …”.

Ada juga yang berkata, “Kita perlu berusaha tapi rezeki di tangan Allah. Mungkin rezeki adik di sini dengan mengambil kursus ini”. Kadang-kadang sampai, “Setelah tamat kursus ini, adik boleh mendapat kerja sebagai …”.

Hakikatnya pinjaman pendidikan sudah dibuat, ijazah sudah dianugerahkan tetapi masih lagi tidak mendapat kerja tetap.

Bagi graduan yang kecewa, universitilah yang salah. Universiti patut menjumudkan kursus yang tidak menjanjikan pekerjaan. Tapi umum mengetahui, universiti adalah tempat untuk belajar. Bukannya tiket untuk mendapat pekerjaan. Ya, 30 atau 40 tahun dahulu memang betul. Sebelum keluar universiti, sudah dilamar syarikat-syarikat besar.

Zaman sekarang ijazah kelas satu belum tentu dapat kerja. Persaingan hebat. Graduan terlalu ramai. Ditambah pula kekosongan jawatan profesional yang terhad ekoran amalan penjimatan kos.

Tapi, renungkan sejenak. universiti telah mempersiapkan graduan dengan 1001 ragam dunia.

Di sinilah mereka mengenal makna tubik, cebok, kome, hujang, kono dan bermacam dialek lagi. Di sinilah mereka menabahkan hati tatkala eksperimen acap kali tidak menjadi. Di sinilah mereka melangkah megah ke dewan menuntut ilmu. Di sinilah mereka berhujah mempertahankan idea.

Di sinilah mereka merindui keluarga tatkala menyambut hari raya bersama tugasan menimbun. Di sinilah mereka menangani apa sahaja kesulitan agar ijazah dapat digenggam. Universiti adalah tempat pertama mereka bermandikan cabaran. Universiti telah menjalankan kewajipan utama mereka. Universiti tidak boleh dipersalahkan.

Maka, sekarang ini siapa pula harus dipersalahkan. Kerajaan?

Rasa-rasanya zaman sekarang ini, semua orang pernah mengisi borang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Orang berebut-rebut hendak masuk kerajaan kerana dikatakan lebih terjamin, elaun besar dan ada pencen untuk bekalan hari tua nanti. Berbulan pun sanggup menunggu panggilan temuduga kerajaan. Kadang-kadang makan masa bertahun. Kadang-kadang tidak dapat langsung panggilan temuduga jawatan yang dipohon melalui SPA. Apabila dapat panggilan, syukurnya seperti sudah dapat kerja. Tetapi apabila selesai temuduga, keputusannya cuma dapat sebagai calon simpanan.

Kenapa kerajaan tidak serap sahaja graduan yang menganggur ke dalam sektor kerajaan? Membela rakyat adalah tanggungjawab kerajaan. Reka sahajalah apa-apa jawatan untuk golongan ini. Yang penting peratusan graduan mengganggur menurun setiap tahun. Yang penting graduan ada kerja tetap. Yang penting, orang tua dapat mencanangkan satu kampung anak kerja kerajaan. Impaknya nama kerajaan yang harum!

Tapi ingatlah, sektor kerajaan bukanlah tempat melambakkan graduan, bukan tempat pekerja makan gaji buta, tempat masuk kerja pukul 8 pagi, balik pukul 5 petang tepat. Kualiti menjadi budaya dalam sektor kerajaan. Siapa yang alpa, memang tertinggal.

Jika kita meletakkan usaha dan amanah dengan tanggungjawab yang diberi, peluang dalam sektor swasta juga terjamin. Gaji dibayar berdasarkan pengalaman yang ada manakala peratusan kenaikan gaji tahunan dan pemberian bonus adalah berdasarkan prestasi pekerja. Semakin banyak usaha diletakkan semakin banyak yang akan kita dapat. Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut disediakan untuk simpanan hari tua. Beringatlah dalam menggunakan caruman supaya tidak papa di hujung usia. Pokok pangkal terletak pada diri sendiri.

Wahai graduan, jangan berputus asa kalau tidak mendapat pekerjaan dan gaji selayaknya dengan ijazah. Jangan persalahkan sesiapa. Ilmu dan pengalaman yang anda ada membezakan anda dengan yang lain.

Yakinlah, Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Rezeki akan datang bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi kesihatan, ke­gembiraan, kelapangan masa dan kemudahan menguruskan sesuatu. Berbuat baik dengan ibu bapa adalah salah satu cara menjemput rezeki.

Wahai graduan dan ibu bapa, luruskan persepsi. Kerja tetap bukan bermaksud kerja dengan kerajaan atau satu-satunya sumber rezeki. Tidak kiralah dari mana rezeki itu datang, sedikit atau banyak, yang penting halal.

Tetapi kita sendiri jangan mengharap anak-anak menghulurkan duit setiap bulan. Menjalankan tanggungjawab membesar dan mendidik mereka bukanlah alasan untuk meminta-minta kepada anak-anak. Yakinlah anak-anak yang terdidik dengan baik, akan ingat tanggungjawab mereka kepada ibu bapa.

PENULIS ialah Pensyarah (Fizik) Jabatan Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) Pulau Pinang.

Sumber - Utusan Online
Tarikh - 10 Jun 2015

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.