KUALA LUMPUR 10 Jun - Majikan diminta berhati-hati dengan kewujudan ‘ulat pasport’ yang menyamar sebagai ejen dan menjadi ‘orang tengah’ membantu urusan memperbaharui pasport pekerja asing.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, sebarang urusan memohon dan memperbaharui pasport hanya dijalankan secara terus di kaunter pejabat Imigresen atau menerusi dalam talian (online).

“Apa yang tersebar melalui WhatsApp dan Internet hari ini bahawa pasport boleh dimohon dan diperbaharui menerusi ejen tertentu adalah palsu kerana pihak kami tidak pernah melantik ejen dalam menjalankan urusan tersebut.

“Sehubungan itu, saya meminta majikan supaya tidak terpedaya dengan kewujudan ejen palsu ini dan saya menasihati mereka supaya sebarang urusan perlu dilakukan sendiri oleh majikan dan tidak menggunakan khidmat mana-mana orang tengah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen telah menambah baik perkhidmatan dengan membuat penghantaran terus kepada majikan selepas pasport baharu ataupun yang diperbaharui siap diproses.

“Kami membuat keputusan untuk membuat penghantaran terus adalah bagi memudahkan majikan memperoleh pasport yang dipohon tanpa perlu beratur panjang di kaunter pejabat,” katanya lagi.

Melalui kemudahan yang disediakan pihak Imigresen, Mustafa memberitahu, kaedah itu lebih efektif dan selamat serta dapat mengelakkan majikan daripada ditipu pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau turut meminta majikan supaya sentiasa peka dan memantau laman web rasmi Jabatan Imigresen kerana sebarang perkembangan dan perubahan mengenai kadar bayaran levi dan pengurusan akan diumumkan melalui Internet dan akhbar.

“Usah percaya dengan khabar angin yang disebarkan melalui WhatsApp atau laman sosial terutama jika berkaitan dengan kadar bayaran yang dikenakan,” tambahnya.

Sumber - Utusan Online
Tarikh - 10 Jun 2015

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.