MELAKA, 2 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerbitkan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Lokap pada April lepas, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Pengerusinya Datuk Yaakob Md Sam berkata dengan adanya SOP terbaru tersebut, pihaknya berharap insiden kematian tahanan dalam lokap dapat dielakkan. "SOP baharu itu juga perlu disusuli dengan kursus ulang kaji bagi anggota pengawasan dan pengurusan lokap bagi memastikan pengawasan yang lebih efektif," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog EAIC Bersama 21 Agensi Penguatkuasaan Seliaan Zon Selatan di sini Selasa. Yaakob berkata EAIC sedang dalam usaha menambah baik SOP agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya bagi memperkasa integriti agensi tersebut. Menurutnya, EAIC telah melaksanakan beberapa usaha dengan membuat kajian, siasatan dan memberikan syor penambahbaikan SOP kepada beberapa agensi penguatkuasaan. Beliau berkata usaha menambah baik SOP amat penting dalam memberikan perkhidmatan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang terbaik kepada rakyat serta meningkat keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan. "Tindakan dan tingkah laku kita terdedah kepada penelitian dan pemerhatian orang awam khasnya pihak-pihak yang berurusan dengan kita. "Keadaan ini menuntut kita supaya berhati-hati ketika melakukan sesuatu aktiviti penguatkuasaan undang-undang," katanya. Beliau mengharapkan agensi-agensi penguatkuasaan lebih proaktif dalam usaha mempertingkat serta memantap integriti anggota seliaan mereka. - BERNAMA

Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.