Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hampir 800 PATI sudah ditahan oleh pihak berkuasa manakala sejumlah 177 hektar daripada 2,258 hektar tanah yang diteroka sudah dibersihkan.

Sejak operasi ke atas PATI dan kegiatan meneroka tanah secara haram dilakukan di kawasan Ca­meron Highlands pada penghujung tahun lepas, masalah-masalah ini semakin dapat dibendung walaupun PATI mempunyai pelbagai taktik untuk memboloskan diri daripada ditahan.

Ada kaedah tertentu yang dilakukan oleh mereka supaya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa tetapi akhirnya mereka berjaya ditahan dengan bantuan dan maklumat daripada pelbagai pihak.

Kerjasama padu antara pihak berkuasa, masyarakat setempat terutamanya Orang Asli sangat penting untuk memastikan hutan tidak diteroka sewenang-wenangnya dan masalah PATI dapat ditangani secara menyeluruh.

Justeru cadangan agar Orang Asli menjadi mata dan telinga pihak berkuasa sangat baik untuk me­nangani masalah ini kerana mereka le­bih arif mengenai selok-belok hutan.

Di samping itu, rondaan dan tinjauan dari udara boleh dilakukan agar pihak berkuasa dapat mengesan penempatan-penempatan haram PATI ini.

Rondaan dan pemantauan yang berterusan akan memberi isyarat kepada mereka bahawa kerajaan negara ini tidak bertolak ansur dalam menangani kemasukan pekerja asing secara haram dan pada masa sama para majikan yang menggajikan mereka akan dikenakan tindakan tegas.

Pihak berkuasa juga boleh me­ngadakan pemantauan menerusi kaedah penyamaran dengan menyu­sup masuk ke kawasan-kawasan tertentu untuk menghidu kegiatan-kegiatan PATI ini.

Selain itu, mereka juga perlu menggempur di sesuatu kawasan yang dihuni dan dikuasai oleh pekerja asing untuk mengetahui status pekerja asing tersebut, apa pekerjaan mereka dan cara kema­sukan mereka ke negara ini.

Menggempur PATI mestilah diperluaskan ke kawasan-kawasan lain, bukannya tertumpu di kawasan-kawasan hutan sahaja.

Di bandar-bandar utama negara, lambakan pekerja asing dapat dilihat di mana-mana. Ia bukanlah satu pemandangan yang luar biasa lagi. Suasana itu akan lebih ketara, pada hari cuti umum. Mereka me­nguasai bandar-bandar berkenaan sehingga muka orang tempatan pun sukar untuk dilihat.

Di sesetengah tempat, mereka bebas menjalankan perniagaan dan menjadikan kawasan tersebut se­perti mereka yang punya.

Justeru, pihak berkuasa mesti melakukan pemeriksaan sama ada mereka ini mempunyai permit atau tergolong dalam kategori PATI.

Sepatutnya, peluang kepada penduduk tempatan mesti dibuka lebih luas supaya pendatang asing tidak menguasai pelbagai bidang yang sudah mereka kuasai selama ini di negara ini. Ini akan membuatkan mereka merasa amat berkuasa di negara ini.

Sudah tentunya, pemantauan secara berterusan akan memberi pelbagai kesan positif kepada pelbagai pihak terutamanya negara.

Salah satunya adalah memberi pengajaran kepada PATI agar tidak berterusan masuk ke negara kita dengan cara yang tidak sah.

Keseriusan kita menangani pekerja asing dan PATI mestilah ­dilihat dari pelbagai sudut ter­utamanya soal-soal keselamatan, ekonomi dan tidak ketinggalan masalah yang berkait rapat dengan alam sekitar.

Contohnya, penerokaan hutan secara haram yang menggunakan khidmat mereka sebagai pekerja mendatangkan pelbagai kesan buruk seperti risiko banjir lumpur, tanah runtuh, pembaziran hasil hutan dan kesan kepada pendapatan negara.

Ia turut menyempitkan peluang pekerjaan kepada mereka yang bergantung kepada hasil-hasil hutan kerana penerokaan hutan secara haram biasanya mengorbankan sesetengah hasil hutan.

Oleh itu, jumlah pegawai pe­nguat kuasa berkaitan pekerja asing terutamanya PATI mestilah ditingkatkan jumlahnya.

Rondaan dan pemantauan oleh pihak berkuasa mestilah dilakukan dengan lebih kerap berdasarkan penelitian dan kajian serta maklumat daripada orang ramai.

Sumber : Utusan Online