GEORGETOWN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang merampas 52 ekor tenggiling bernilai RM70,000 yang disembunyikan dalam sebuah kereta di Butterworth, dekat sini hari ini.
Pengarah Perhilitan negeri Loo Kean Seon berkata hasil maklumat dan risikan, pihaknya mengekori sebuah kereta jenis Proton Waja di kawasan berkenaan sebelum menahan dan menjalankan pemeriksaan pada 3.15 pagi tadi.
"Pemeriksaan mendapati terdapat 52 ekor tenggiling dalam but kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dan kami turut menahan pemandu itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata dipercayai semua haiwan itu cuba diseludup ke negara jiran untuk dijual kepada sindiket di sana.
Katanya semua haiwan yang dirampas itu akan dimasukkan mikrocip sebelum dilepaskan ke habitat asal, manakala bagi yang cedera rawatan akan diberikan sebelum dilepaskan. - Bernama