KUALA LUMPUR 21 Feb. - Jabatan Imigresen menggesa para majikan supaya mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di negara ini mengikut proses yang sah melalui syarat yang ditetapkan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sakib Kusmi berkata, pihaknya mengambil serius terhadap perkara itu bagi mengatasi kebanjiran PATI di negara ini menerusi Op Hari-Hari Operasi.
Menurut beliau, operasi tersebut yang giat dijalankan itu akan berlangsung seÂpanjang tahun ini bagi mengesan pekerja warÂga asing yang tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Dalam operasi ini, kita memberi tumpuan secara menyeluruh di setiap kawasan terutama di projek-projek pembangunan atau tempat penempatan PATI.
“Oleh itu, kita amat menggalakkan pihak majikan agar mendaftarkan warga asing yang bekerja dengan mereka sebelum tindakan undang-undang diambil,†katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan masalah kepadatan depot tahanan PATI selepas operasi ini dilancarkan, Sakib menjelaskan pihaknya akan mempercepatkan proses membawa pulang PATI yang ditahan ke negara asal mereka.
Tambahnya, penambahan depot tahanan tidak akan dibuat kerana mereka masih mampu mengawal jumlah tahanan yang ditempatkan.
“Setakat ini, kita masih boleh mengawal kapasiti penempatan PATI yang ditahan. Jika terdapat sebarang masalah, kita akan meminta kerjasama daripada pihak lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),†ujarnya.
Menurut Sakib, pihaknya turut mengambil serius terhadap penglibatan ‘orang tengah’ yang mengambil kesempatan terhadap kemasukan PATI ke negara ini.
“Bagaimanapun, saya percaya kawalan di sempadan dan perairan negara yang dijalankan oleh pihak PDRM dan ATM termasuk imigreÂsen sendiri mampu menangani isu ini daripada terus berterusan,†katanya.
Sumber : Utusan Malaysia