KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pihak berkuasa digesa supaya tidak lagi ‘memberi muka’ kepada ah long sebaliknya mereka harus menggandakan penguatkuasaan dalam usaha membanteras kegiatan ceti haram itu yang semaÂkin menjadi-jadi ketika ini.
Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, jika perkara itu boleh dilakukan secara drastik dan berterusan, golongan tersebut pasti akan ‘panas punggung’ dan sukar untuk meneruskan kegiatan mereka.
“Sebenarnya, hendak banteras ah long ini bukan susah sangat jika ada penguatkuasaan berterusan dan bukannya penguatkuasaan ‘bermusim’ seperti yang berlaku sekarang.
“Lagipun, ah long ini pun bukannya perkara baharu...sudah lama wujud. Mereka ini tidak susah untuk dikesan sebab mereka ada di mana-mana untuk menawarkan perkhidmatan mereka (pinjaman wang).
“Kalau tidak percaya, lihat sahaja di tiang elektrik, pondok telefon, pondok bas dan di tepi jalan yang penuh dengan notis untuk pinjaman wang. Siapa lagi yang akan buat begitu kalau bukan ah long? Jadi, saya harap pihak berkuasa akan fikirkan satu langkah yang lebih drastik untuk menangani kegiatan ini,†kataÂnya kepada Utusan Malaysia.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid semalam mendedahkan, jumlah kerugian akibat ceti haram itu meningkat mendadak tahun lepas iaitu sebanyak RM31.3 juta berbanding hanya RM4.3 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah kes juga meÂningkat iaitu kepada 624 kes berbanding 419 kes untuk tempoh yang sama.
Mengulas lanjut, Shahul Hamid berkata, bank dan institusi kewaÂngan yang lain termasuk koperasi juga seharusnya memainkan peÂranan masing-masing dengan melonggarkan syarat untuk membuat pinjaman bagi mengelakkan orang ramai terperangkap dengan ‘janji manis’ ah long.
“Kalau semua pihak (peminjam berlesen) bersedia untuk beri kemudahan mendapatkan pinjaman, saya percaya, tak ramai yang ingin meminjam daripada ah long selepas ini,†katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar memberitahu, orang ramai tidak sepatutnya terpedaya dengan kegiatan licik ah long semata-mata untuk mendapat wang dengan cepat dan mudah.
“Bagi saya, kalau kita menghadapi masalah kewangan sekalipun, elak berjumpa dengan ah long. Sebagai contoh, kalau nak pinjam wang untuk berniaga, buat perancangan awal termasuk dari segi jumlah yang betul-betul diperlukan dan sebagainya,†katanya.
Sumber : Utusan Online