Melaka: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengakaji semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi menjamin keselamatan anggota ketika menjalankan operasi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, dalam menjamin keselamatan anggota penguat kuasa JPJ ketika bertugas, jabatannya sering mengkaji SOP yang sedia ada.
"Satu perbincangan bersama KP (Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron) sudah diadakan dan beliau meminta Bahagian Penguatkuasaan untuk mengkaji semula SOP sedia ada bagi melakukan pernambahbaikan.
"Sebelum ini kita selalu kaji semula dan meneliti keselamatan anggota ketika menjalankan tugas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengebumian anggota penguat kuasa JPJ Selangor, Mohd Ridzuan Md Yusoff yang maut dalam operasi di Plaza Tol Setia Alam, tengah hari semalam. Hadir sama Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib.
Menurutnya, ketua pengarah turut mencadangkan supaya kon digunakan ketika anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan berat sebagai isyarat pemeriksaan sedang dijalankan.
"Apabila kon diletakkan di hadapan kenderaan yang diperiksa pemandu akan tahu mereka tidak boleh menggerakkan kenderaan sehingga ia dialihkan dan selamat untuk meninggalkan lokasi pemeriksaan," katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Uzair berkata, pemergian arwah adalah satu kehilangan besar buat jabatan itu kerana Mohd Ridzuan, seorang kakitangan yang rajin dan berdisiplin tinggi.
Arwah pernah menerima tokoh pekerja cemerlang bulanan dan turut dicalonkan untuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun ini.
Sumber : Harian Metro