PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan bahawa dakwaan dan gambaran buruk yang diberikan oleh penyanyi rap kontroversi Namewee terhadap Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang adalah tidak benar dan tidak berasas.
Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam dalam kenyataan hari ini berkata EAIC telah membuat lawatan mengejut ke Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Lepas pada 5 September (Isnin) susulan dakwaan Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berhubung keadaan lokap berkenaan.
Namewee yang ditahan reman selama empat hari di lokap berkenaan berikutan penghasilan klip video lagu yang dianggap menghina Islam, mendakwa ditempatkan bersama 15 tahanan lain dari Myanmar di bilik kecil berkeadaan buruk dan terdapat tahanan warga asing yang ditahan melebihi 30 hari dan mungkin meninggalm dunia tanpa diberikan rawatan perubatan.
Yaacob berkata, dakwaan Namewee ditempatkan bersama 15 tahanan lain dalam bilik lokap yang kecil dan buruk adalah tidak benar.
Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pasukan penyiasat EAIC mendapati Namewee ditempatkan di dalam sel tahanan bersama 12 orang tahanan lain hanya untuk tempoh lebih kurang dua jam sahaja, katanya.
Katanya, Namewee yang dibawa masuk ke sel tahanan M1-2 pada jam 4.53 petang ditempatkan bersama tujuh orang tahanan warga Myanmar dan lima tahanan warga Nepal.
Pada jam 6.45 petang, katanya, kesemua 12 tahanan itu dibawa keluar dan ditempatkan di lokap M-17.
"Tindakan ini diambil oleh pihak lokap berpusat khusus untuk memberikan keselesaan kepada Namewee," katanya.
Menurut Yaacob, seterusnya sepanjang tempoh penahanan reman Namewee, iaitu dari jam 6.45 petang 22 Ogos hingga jam 7.14 pagi 25 Ogos, Namewee telah ditempatkan berseorangan di dalam sel yang sama.
Yaacob juga berkata, dakwaan tahanan warga Myanmar ditahan melebihi 30 hari adalah andaian semata-mata.
"Hasil pemeriksaan rekod tahanan mendapati, 12 tahanan lain yang ditempatkan di sel M1-2 sebelum Namewee dimasukkan adalah mereka yang ditahan pada 13 Ogos di sekitar Georgetown, Pulau Pinang dan tamat tempoh tahanan pada 26 Ogos.
"Pada tarikh Namewee dimasukkan ke sel M1-2 pada 22 Ogos, tahanan warga Myanmar yang ditempatkan di dalam sel itu baru ditahan selama sembilan hari.
"Analisis terhadap rakaman CCTV terutama sepanjang tempoh Namewee berada bersama tahanan itu di sel M1-2 juga mendapati tahanan warga asing berada dalam keadaan normal dan tiada apa-apa kejadian luar biasa yang berlaku.
"Semasa tahanan itu diarahkan berpindah ke sel M1-17, rakaman CCTV mendapati kesemua tahanan dapat berjalan secara biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda mereka tidak sihat.
"Dakwaan Namewee bahawa tahanan yang ditempatkan bersamanya berada dalam kesihatan yang teruk dan kemungkinan terdapat tahanan warganegara asing yang meninggal dunia tanpa diberikan rawatan perubatan yang diperlukan adalah tidak berasas dan merupakan andaiannya semata-mata," katanya.
Yaacob juga berkata, pemerhatian pasukan lawatan mendapati secara keseluruhannya tahap kebersihan lokap dan sel di Lokap Berpusat Bayan Baru berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan.
"EAIC juga berpuas hati dengan pengurusan Lokap Berpusat Bayan Baru yang telah diuruskan dengan memuaskan dan terdapat kepatuhan ke atas SOP Pengurusan Lokap PDRM 2014," katanya. - Bernama
Sumber : Sinar Harian Online