PUTRAJAYA: Hampir 80 peratus aduan yang diterima Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) adalah membabitkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagaimanapaun, Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam, berkata perkara itu terjadi kerana PDRM adalah agensi yang mempunyai kakitangan paling ramai dan kerjanya pula banyak membabitkan masyarakat umum. "Antara aduan itu termasuk kekerasan yang dilakukan anggota atau pegawai polis kepada tahanan atau banduan di bawah kendalian mereka. "Baru-baru ini, EAIC menerima beberapa aduan mengenai kekerasan yang dilakukan ke atas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (SOSMA). "Atas sebab itu, EAIC akan bekerjasama dengan SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) untuk melakukan siasatan dengan cekap lagi adil berhubung perkara berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan kaunter aduan pertama Pusat Khidmat Pelanggan EAIC, di sini, hari ini. Tambah Yaacob, ia adalah kaunter pertama seumpamanya yang dibuka untuk memudahkan pelanggan membuat aduan secara bersemuka dengan pegawai bertugas. "Namun, jika pelanggan berasakan membuat aduan secara atas talian lebih mudah atau selesa, mereka boleh meneruskan dengan cara berkenaan," katanya. Kaunter yang dibuka di aras bawah Menara Usahawan itu juga memudahkan orang awam untuk mengetahui status terkini aduan mereka. "Fungsi dan khidmat utama kaunter ini adalah untuk menerima aduan, pertanyaan umum, khidmat nasihat dan maklum balas pelanggan," katanya.
Sumber: Berita Harian