TIGA mahkamah berasingan baru-baru ini, membenarkan tuntutan kerugian hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM265,759.64 terhadap tiga pengguna TNB kerana pengusikan pepasangan meter elektrik di premis masing-masing.
Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis Abu Bakar Katar kelmarin, membenarkan rayuan TNB untuk menuntut kerugian berjumlah RM210,291.39 daripada Iglooo Ice (Pg) Sdn Bhd dari tarikh penghakiman dengan kos.
Keputusan itu diambil kira berdasarkan penelitian mahkamah daripada rekod rayuan, rekod rayuan tambahan dan penghujahan bertulis pelbagai pihak bahawa ada pengusikan berlaku pada pepasangan meter elektrik ketika kakitangan TNB melakukan pemeriksaan di kilang kiub ais itu, 24 Mei 2012.
TNB diwakili peguam Fathima Mohd Idris dari Tetuan Idris & Associates yang mengemukakan fail rayuan pada 5 Mei lalu selepas kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kangar pada 24 Ogos dan 20 September tahun lalu.
Sementara itu, Iglooo Ice (Pg) Sdn Bhd diwakili peguam Lim Kian Leong dari Tetuan Lim, Ho, Cheong & Lok dengan mengemukakan seorang saksi manakala TNB empat saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.
SOURCE : Metro Online