JITRA - Anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dibekalkan baju kalis senjata bagi meningkatkan keselamatan mereka ketika terlibat dalam sebarang operasi berisiko.
Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias berkata, sebagai permulaan, Kubang Pasu menerima lapan unit baju kalis senjata bersama t-baton disumbangkan Adun Jitra, Datuk Aminuddin Omar.
“Baju berkenaan akan digunakan anggota kita dalam operasi perangi dadah habis-habisan di sekitar daerah ini,†katanya pada sidang media Program Orientasi Bil 6/17 dan Penyerahan Baju Kalis Senjata di Pejabat AADK Kubang Pasu, semalam.
“Sumbangan sebegini secara tidak langsung dapat meringankan beban ditanggung agensi dan pegawai-pegawai AADK.
“Kelengkapan ini juga dapat meningkatkan keyakinan dalam operasi berisiko sebab kita tidak dapat jangka apa yang akan berlaku ketika itu,†katanya.
Menurutnya, Kubang Pasu juga mencatatkan peningkatan ketara bagi kes penagihan dadah apabila sehingga kini seramai 911 orang kena pengawasan dicatatkan di daerah ini.
“Kita harap dengan adanya baju kalis senjata ini dapat membantu menurunkan kadar penagihan di daerah ini melalui operasi perangi dadah habis-habisan yang kita adakan,†katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, sumbangan baju itu disampaikan setelah menyedari bahaya dihadapi anggota AADK jika menjalankan operasi tanpa keperluan lengkap.
“Sebagai permulaan, kita sumbangkan lapan unit terlebih dahulu. Bergantung pada keadaan, sekiranya ada keperluan untuk kita tambah bilangan baju ini nanti, kita akan tambah,†katanya.
Terdahulu, Aminuddin turut merasmikan Program Orientasi Bil 6/17 yang dihadiri hampir 100 peserta terdiri daripada klien AADK.
SOURCE : Sinar Harian