Wajah sama nama berbeza

Kuala Lumpur: Wajah masih sama tetapi nama berbeza. Itu taktik diguna pakai wanita pelacur dan tukang urut seks yang dikesan menggunakan nama dan identiti baru untuk memasuki semula negara ini selepas diusir pihak imigresen.

Kebanyakan mereka pernah diberkas atas kesalahan menggunakan permit pembantu rumah untuk bekerja secara haram di rumah urut atau menjadi pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan.

Sebaik diusir dari Malaysia, masing-masing akan pulang ke negara asal iaitu Indonesia, Filipina dan Vietnam serta menggunakan khidmat sindiket untuk mengubah identiti masing - masing.

Mereka kemudian masuk semula ke Malaysia dengan menggunakan pasport baru diperolehi daripada sindiket dalam tempoh tiga hingga lima bulan kemudian.

Taktik licik itu bagaimanapun terbongkar hasil risikan dan tangkapan dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Risikan mendapati ada antara wanita warga asing yang ditahan pernah diberkas sebelum ini namun mengulangi kesalahan mereka dengan bekerja tanpa permit kerja sah.

Difahamkan, mereka sudah diusir keluar dari negara ini namun masuk semula dengan menukar identiti pengenalan diri termasuk nama dan tarikh lahir.

Dalam operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah JIM Putrajaya Mohd Yuzaiman Ahmad, seramai 15 wanita warga asing yang bekerja di tiga pusat kesihatan dan refleksologi yang menawarkan urutan body to body (B2B) dan seks di sekitar Jalan Klang Lama, di sini, diberkas.

Jurucakap JIM berkata, meskipun operasi dijalankan setiap hari oleh agensi berkenaan, masih ada pusat urut atau spa ini beroperasi semula kerana tiada tindakan susulan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, agensi penguatkuasaan undang-undang selain imigresen perlu menangani isu ini secara bersepadu.

“Kita perlu memutuskan rantaian kesalahan. Maknanya, kalau kesalahan itu di bawah JIM, ia akan dikuatkuasakan pihak kami.

“Kalau di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka perlu mengambil tindakan juga. Jika membabitkan jenayah, kita ada polis, maritim dan agensi lain.

“Antaranya syarat buka spa atau rumah urut perlu ada tirai dan katil urut bukannya bilik bertutup atau berkunci atau tilam di lantai,” katanya.

source : My Metro

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.