Kuala Lumpur: Kudrat enam lelaki tempatan tidak mencukupi untuk menahan seorang ‘badang’ Nigeria yang mengamuk.
Itu yang disaksikan wartawan Harian Metro ketika membuat liputan operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di beberapa lokasi di ibu kota termasuk Kepong dan Cheras kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 9 malam itu, seramai 35 anggota dari JIM Kuala Lumpur diketuai Ketua Unit Risikan dan Operasinya, Mohd Shahrulnizam Ismail melakukan serbuan di beberapa lokasi termasuk pusat judi haram dan rumah urut yang menawarkan urutan batin.
Jurucakap JIM berkata, pasukan pertama melakukan serbuan di pusat judi haram di Pusat Niaga Metro Prima, Kepong.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan sedang leka berjudi namun kelam-kabut melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota JIM.
“Seorang lelaki Nigeria bertindak merempuh pegawai JIM sebelum berlari keluar melalui pintu belakang premis.
“Beberapa pegawai JIM yang menyedari tindakan lelaki berbadan sasa itu bertindak mengejar sebelum berjaya menahan lelaki itu di lorong belakang premis,†katanya.
Menurutnya, lebih empat pegawai JIM terpaksa menggunakan kudrat mereka untuk menahan lelaki itu selain menerima bantuan dua anggota polis yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Meskipun sudah digari, lelaki warga asing itu dilihat terus meronta hingga mengakibatkan beberapa pegawai JIM cedera ringan.
Lelaki warga asing itu kemudian berjaya ditenangkan sebelum dibawa menaiki lori JIM.
Hasil serbuan ke atas dua pusat judi itu, pihak JIM menahan 14 individu termasuk empat wanita warga asing masing-masing sembilan dari Indonesia, tiga Myanmar dan seorang Nigeria.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang berasal dari Sabah yang melakukan provokasi ke atas pegawai JIM ketika serbuan.
Susulan itu, dua rumah urut yang dimiliki syarikat sama masing-masing di kawasan Pandan Jaya dan Pandan Indah, Ampang turut diserbu serentak sebelum 12 individu ditahan.
Daripada jumlah itu, dua daripadanya adalah lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis manakala 10 lagi adalah wanita Thailand yang bekerja sebagai tukang urut yang menawarkan urutan batin.
SOURCE : My Metro