KUCHING - Keperluan bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak untuk memilik aset kapal pengangkut untuk memantapkan operasi penguatkuasaannya di laut semakin mendesak.
Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata terbaru pihak Maritim daerah Maritim Kuching menahan dua bot asing dan menangkap 22 lagi awak-awak serta tekong dari Vietnam di kedudukan kira-kira 185 batu nautika dari Tanjung Po pada kira-kira 8.45pagi Khamis lepas.
Beliau berkata tangkapan itu menjadikan jumlah terkumpul penahanan bot dari Vietnam sejak awal tahun hingga kini berjumlah 26 kes berbanding hanya 12 sepanjang tahun lepas, manakala jumlah nelayan asing Vietnam yang ditahan sejak Januari hingga kini berjumlah 316 orang, berbanding hanya 189 sepanjang tahun lepas.
“Ini merupakan jumlah tangkapan yang paling tinggi dalam tempoh kira-kira 11 tahun Maritim beroperasi di sini,†katanya pada sidang media di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di sini hari ini.
Beliau berkata kaedah baru yang lebih efektif perlu ditampilkan dalam usaha meningkatkan keberkesanan operasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil kekayaan laut negara.
Ismaili berkata bot yang ditahan bernilai tidak kurang RM5 juta tiap satu, dan ketika ditahan ia didapati membawa kira-kira 10,000kg ikan pelbagai jenis.
Menurutnya bot yang ditunda itu mengambil masa dua hari untuk sampai ke Komtas, sekali gus mengehadkan operasi kawalan perairan negara buat sementara waktu.
Beliau berkata dengan adanya kelengkapan kapal pengangkut pihaknya boleh ‘berkampung’ buat sementara waktu di tengah laut dengan segala keperluan seperti bahan api, bekalan makanan dan sebagainya disediakan untuk tempoh penguatkuasaan lebih lama di lapangan.
Katanya keperluan bagi mendapatkan dua kelengkapan itu telah dimajukan kepada kerajaan persekutuan, dan April lepas sepasukan Unit Perancang Ekonomi telah turun ke lapangan untuk buat kajian mengenai rasional pencerobohan nelayan asing, khususnya di kawasan Tanjung Manis dan mendengar taklimat Maritim serta Jabatan Perikanan mengenainya.
“Kita jelaskan memang pencerobohan tahun ini agak luar biasa, kita juga usulkan jika boleh Sarawak ini dijadikan projek rintis atau projek permulaan penggunaan kapal pengangkut dalam usaha meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan kita,†katanya.
“Kita tidak boleh berterusan beroperasi begini, bila kita bawa bot ini ke jeti, kawasan operasi terpaksa ditinggalkan. Contoh, bot ini kita tahan 10 Ogos lepas tapi untuk ditunda ke sini ambil masa dua hari, dalam tempoh itu kawasan operasi kita tinggalkan,†tambahnya.
Ismaili berkata pihaknya berharap satu keputusan dapat dicapai mengenai pemilikan aset kapal pengangkut berkenaan tahun ini, yang mana apabila sudah ada dana diluluskan nanti, barulah boleh dibuka tender untuk pembinaan kapal yang akan mengambil masa sekitar enam atau lapan bulan untuk disiapkan.
source : Bernama Online