PUTRAJAYA 28 Jun – Malaysia mencapai prestasi terbaik dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia seperti diumumkan oleh Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2017.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, Malaysia telah dinaikkan ke Tahap 2 dalam laporan tersebut yang juga dilakukan terhadap 187 negara menerusi penilaian tiga komponen utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan.
Menurut beliau, kedudukan itu adalah pencapaian terbaik Malaysia sejak 2007 setelah negara mempunyai perundangan khusus mengenai pemerdagangan orang.
“Pengiktirafan itu adalah berdasarkan peningkatan siasatan, pendakwaan dan sabitan kes berbanding tahun sebelumnya termasuk langkah kerajaan menambahbaik inisiatif membanteras aktiviti pemerdagangan orang dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta meminda Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran pada 2015 (ATIPSOM).
“Pencapaian ini juga adalah hasil komitmen padu ditunjukkan oleh Majlis Antipemerdagangan Orang yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,†katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alwi menambah, dalam laporan itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat amat mengalu-alukan usaha Malaysia memperkukuhkan kerjasama antara agensi berhubung aspek siasatan melalui penubuhan pasukan petugas khas antipemerdagangan orang yang membabitkan pelbagai agensi.
“Daripada aspek pendakwaan pula, Malaysia telah merekodkan peningkatan yang ketara apabila 35 individu dijatuhi hukuman pada 2016 berbanding tujuh orang pada tahun sebelumnya.
“Kerajaan akan terus meningkatkan keberkesanan pendakwaan dan pertuduhan menerusi kerjasama agensi penguatkuasaan, pendakwaan dan pegawai pelindung mangÂsa termasuk memperluaskan pendedahan kepada badan kehakiman mengenai eksploitasi buruh paksa,â€katanya.
Pada masa sama, Alwi memberitahu, laporan itu juga menyentuh mengenai penglibatan sebahagian kecil penjawat awam khususnya agensi penguat kuasa dalam jenayah pemerdagangan manusia apabila sebanyak 42 individu disiasat, ditahan dan dikenakan tindakan.
Beliau menjelaskan, laporan tersebut mencadangkan agar Malaysia memperbaiki pelaksanaan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan melalui ATIPSOM mengenai kebenaran bekerÂja dan bergerak bebas kepada mangsa.
“Selain itu, kerajaan perlu menambah baik aspek perlindungan menerusi kolobrasi NGO iaitu layanan berdasarkan hak asasi manusia,’’ kata beliau.
Sumber : Utusan Online